Mohd Nadzir (dua dari kanan) menunjukkan barangan rampasan. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Oleh Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my

Johor Bahru: Sebanyak 2,659 botol cecair vape selain peralatan vape bernilai lebih RM143,000 dirampas dalam serbuan di premis di Jalan Abdullah Tahir dan Larkin, di sini, kira-kira 4 petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah (II) Johor Bahru Selatan Superintendan Mohd Nadzir Gulam Kadir berkata, tujuh pemilik dan penjaga premis berusia 21 hingga 33 tahun ditahan sebelum dibebaskan selepas keterangan diambil.

Katanya, premis berkenaan didapati beroperasi menjual pelbagai peralatan vape dan cecair vape yang disyaki mengandungi racun.

"Operasi berkenaan dilakukan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

"Operasi ini adalah kali kedua diadakan dengan gabungan pelbagai agensi penguatkuasaan di negeri ini terhadap penjual vape, rokok elektronik dan cecair perisa mengikut peruntukkan Akta Racun 1952, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan undang-undang lain berkaitan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 4:29 PM