METER kelajuan yang ringkas dan menarik.
FAROUK (kanan) memperkenalkan Vespa Primavera.
VESPA Primavera sesuai untuk ditunggang di kawasan urban.
Oleh Erywan Norshal

Sejak diumumkan di Pameran Motosikal Milan, Itali tahun lalu, akhirnya model terbaru Vespa Primavera dilancarkan di negara ini selaku jentera dua roda kerangka kecil dengan reka bentuk moden.

Barisan asal Vespa Primavera sudah dihasilkan sejak 1968 di Itali dan ia dikatakan bakal menggantikan model popular Vespa menerusi LX.

Ia menjadi antara pemangkin perubahan jentera dua roda yang bergaya. Maka, tidak hairanlah jika ia menjadi antara model paling ulung dan diminati dalam sejarah Vespa.

Bagaimanapun, model terbaru itu banyak mengambil rekaan model edisi terhad Vespa 946 dengan menggunakan platfrom Vespa LX tetapi mempunyai kelebihan dari segi ruang penyimpan lebih luas di bawah tempat duduknya.

Biarpun model di negara asing dipasarkan dengan jenis enjin 125 dan 150, pasaran di Malaysia hanya dijual satu varian iaitu 150 yang turut menerima pembaharuan sistem transmisi dan klac.

Berbeza dengan model Vespa LXV 150ie, Vespa Primavera hadir menerusi penampilan lebih segar dengan rangkaian teknologi terkini.

Dikilangkan di Vietnam, Vespa Primavera menggunakan enjin empat lejang silinder tunggal bersesaran 155 cc.

Enjin tiga injap dengan sistem pancitan bahan api itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 11.7 kuasa kuda (hp) serta tork setinggi 12 Nm yang turut dipadankan kotak gear CVT.

Generasi terbaru itu memberi gaya tunggang lebih lancar dan mampu mengurangkan sehingga 40 peratus getaran berbanding model Vespa terdahulu.

Penambahan jarak rodanya turut memberi karakter tunggangan menarik manakala tempat duduk yang dipertingkatkan lebih praktikal selain tambah selesa.

Sistem keselamatan diambil berat pengeluarnya apabila melengkapkan Primavera ciri lampu siang LED serta sistem suspensi yang dipertingkat.

Sementara itu, bagi meningkatkan jualan Vespa di Malaysia, Naza Premira Sdn Bhd selaku pengimport dan pengedar skuter berkenaan menyasarkan kira-kira 20 pembukaan Pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) sebelum akhir tahun ini.

Pengurus Besarnya, Farouk Faisal berkata, pembukaan pusat 3S itu bukan hanya tertumpu di Semenanjung malah turut merangkumi Sabah dan Sarawak.

"Kami juga akan menambahkan dua lagi varian Vespa selepas suku kedua tahun depan yang mana kedua-dua model itu menggunakan enjin bersesaran 150 cc dan diimport dari Vietnam.

"Buat masa ini, hanya dua model Vespa ditawarkan kepada pengguna tempatan menerusi LXV 150 dan Primavera," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Vespa Primavera di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Vespa Primavera dijual dengan empat pilihan warna sama ada merah, putih, hitam atau biru muda. Harga jualannya bermula dari RM11,888 serta ditawarkan dengan tempoh jaminan setahun atau 10,000 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 11:21 AM