ANGGOTA penyelamat Thailand mengeluarkan penumpang cedera selepas kemalangan pada 20 Disember lalu. FOTO ihsan pembaca
Oleh Muhammad Saufi Hassan
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sudah berada di daerah Doi Saket, Chiang Mai bagi memberi perkhidmatan konsulat kepada waris mangsa tragedi bas yang meragut 13 nyawa pelancong Malaysia, Ahad lalu.

Dalam satu kenyataan akhbar, Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa pegawai berkenaan akan membantu waris mangsa nahas bas itu sekali gus melicinkan sebarang proses pengecaman serta menuntut jenazah.

“Kementerian Luar Negeri akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan Malaysia, pihak berkuasa Thailand dan agensi pelancongan dalam urusan membawa pulang jenazah serta mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu.

“Segala usaha sedang giat dilaksanakan dan kementerian berharap supaya dengan kehadiran pegawai kedutaan, segala kesulitan dapat diatasi,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.

Dalam kejadian Ahad lalu, 13 rakyat Malaysia terkorban, manakala sembilan lain cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 11:28 AM