GAMBAR HIASAN. FOTO Arkib NSTP

Putrajaya: Yuran lebih murah dan jarak dekat adalah antara faktor ibu bapa menghantar anak-anak ke Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) tidak berdaftar, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun.

Dalam sesi taklimat kepentingan taska berdaftar dan sesi dialog bersama ibu bapa di sini hari ini, Chew berkata, ibu bapa boleh memaklumkan kepada kementerian mengenai taska atau rumah pengasuh yang tidak berdaftar bagi membantu mereka mendaftarkannya dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bertanyakan mereka tentang pendaftaran, supaya pengusaha (taska) melihat ibu bapa prihatin tentang isu pendaftaran,” katanya.

Taska perlu berdaftar dengan JKM mengikut peruntukan di bawah Akta Taska 1984 dan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012.Mengikut Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012, nisbah pengasuh hendaklah seorang pengasuh kepada tiga kanak-kanak di bawah umur satu tahun, seorang pengasuh kepada lima kanak-kanak berumur satu hingga tiga tahun dan seorang pengasuh kepada 10 kanak-kanak berumur tiga hingga empat tahun.

Terdapat empat kategori taska iaitu Taska Di Rumah (menerima kurang daripada 10 kanak-kanak), Taska Di Institusi, Taska Di Tempat Kerja dan Taska Komuniti (menerima 10 kanak-kanak atau lebih).

Sehingga Oktober tahun ini, terdapat 3,479 taska yang berdaftar di seluruh negara dengan 13,710 pengasuh yang menjaga 66,497 kanak-kanak.

Chew berkata, dalam gerakan pemutihan taska tidak berdaftar yang dimulakan awal tahun ini, sebanyak 1,176 taska tidak berdaftar telah dikenal pasti namun hanya 286 taska tampil untuk berdaftar dengan JKM sehingga Okt lepas.

“Itu hanya satu anggaran. Saya percaya banyak lagi taska dan rumah pengasuh yang tidak berdaftar yang tidak dapat dikesan,” katanya.

Menurut Chew, kriteria yang perlu diambil kira dalam pemilihan taska dan pengasuh adalah latihan, pengalaman, sikap dan komitmen.

“Setiap ibu bapa perlu memahami bahawa setiap perkhidmatan yang ditawarkan perlu diberikan ganjaran yang sewajarnya.

“Perlu diingat, tidak semestinya murah itu tidak baik dan tidak semestinya yang mahal adalah baik. Oleh itu, kita mesti memastikan ia sekurang-kuranya mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah akta dan peraturan serta kualiti penjagaan adalah memuaskan,” katanya.

Chew berkata, pada tahun ini, sebuah taska telah ditutup, sebuah lagi taska telah dikenakan kompaun dan sebuah taska telah didakwa di mahkamah dan dikenakan denda.

“Tindakan penguatkuasaan oleh pihak jabatan akan menimbulkan masalah dan menyusahkan ibu bapa. Atas faktor ini, saya sekali lagi menyeru agar ibu bapa untuk menggerakkan usaha bagi memastikan semua pengusaha taska untuk mendaftarkan taska masing-masing,” katanya.

Berdasarkan statistik JKM, sebanyak 16 kes kematian di taska dan rumah pengasuh telah dilaporkan dalam tempoh 10 bulan pertama pada tahun ini dan punca kematian yang biasa dilaporkan ialah tersedak susu, paru-paru berair atau jangkitan kuman.

Daripada 16 kes kematian itu, sebanyak 10 kes berlaku di taska tidak berdaftar. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 4:02 PM