AKSI akrobatik Bale yang menjaringkan empat gol.

Madrid: Gareth Bale menyumbat empat gol ketika Real Madrid bangkit daripada ketinggalan untuk membelasah Rayo Vallecano yang beraksi dengan sembilan pemain, 10-2 di Santiago Bernabeu bagi merapatkan jurang dengan pendahulu La Liga Barcelona dan Atletico Madrid kepada dua mata.

Atletico terlepas peluang merampas tangga teratas apabila kapten mereka Gabi dibuang padang ketika kalah 0-1 di Malaga.

Barca memiliki kelebihan satu perlawanan kerana mereka tidak beraksi pada La Liga minggu ini selepas merangkul kejuaraan Piala Kelab Dunia dengan kemenangan 3-0 ke atas River Plate di Jepun kelmarin.

Ia kali pertama dalam tempoh 55 tahun satu pasukan menjaringkan 10 gol dalam aksi La Liga namun penyokong Real Madrid masih tidak berpuas hati terhadap jurulatih Rafael Benitez selepas Real ketinggalan 1-2 dalam tempoh 12 minit pertama.

Kad merah dalam tempoh setengah jam pertama terhadap Tito dan Raul Baena membuka laluan Real berpesta gol dengan Cristiano Ronaldo meledak dua gol selain hatrik Karim Benzema sebelum Bale melengkapkan hari paling prolifik sebagai pemain Madrid dalam tempoh tiga tahun.

“Kami melepaskan gol awal, tapi pasukan bertindak balas selepas itu,” tegas Benitez.

“Saya tidak akan menilai keputusan pengadil namun selepas kad merah itu pasukan hanya melakukan apa yang sepatutnya, cuba bermain dengan baik dan menjaringkan gol.”

Presiden Madrid Florentino Perez mengulangi sokongannya terhadap Benitez pada pertengahan minggu lalu selepas khabar angin beliau akan dipecat jika kalah satu lagi perlawanan selepas tumpas 0-1 kepada Villarreal dua minggu lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 10:17 AM