IZYAN Syamimi menunjukkan produk Multi Hidroponik.
KHAIRUL Aidil menunjukkan produk Dekoponix.
Oleh Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Masalah kekurangan tanah di kawasan perumahan terutama bandar bukan menjadi penghalang utama untuk bercucuk tanam kerana pelbagai kemudahan disediakan bagi mengatasinya.

Sehubungan itu, Jabatan Rekabentuk Industri, Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan dua produk iaitu Dekoponix dan Multi Hidroponik untuk menanam pelbagai jenis tumbuhan.

Penyelidiknya, Prof Dr Khairul Aidil Azlin Abd Rahman berkata, beliau mencipta inovasi Dekoponix untuk pelbagai tanaman herba atau pokok hiasan.

Beliau berkata, Dekoponix membawa variasi produk hidroponik iaitu penanaman berasaskan medium air yang sangat mudah dan praktikal untuk cita rasa agrourban.

“Kaedah penanaman hidroponik tanpa menggunakan tanah adalah produk yang bersih serta organik dan tidak memerlukan penjagaan rapi.

“Set Dekoponix disertakan kit keperluan penanaman iaitu kup, kapas, biji benih dan media hidroponik. Selain itu, produk ini juga mudah diselenggarakan dengan hanya menambah air dan media baja air mengikut sukatan ditetapkan.

“Dekoponix direka khas dengan pelbagai reka bentuk dan warna bagi memberi pilihan kepada pengguna untuk penyesuaian serta koordinasi cita rasa dekorasi rumah,” katanya ketika ditemui di Exspo Pertanian UPM, Serdang, baru-baru ini.

Menurutnya, tanaman yang disyorkan untuk produk ini seperti sayuran sawi dan bayam atau tanaman herba seperti ketumbar dan kesum sesuai untuk ruang dapur.

“Sementara tanaman seperti salad, ulam-ulaman boleh diletakkan di atas meja makan sebagai hidangan segar dan segera. Begitu juga tanaman dekorasi, boleh diletakkan pada ruang tertentu di pejabat, bilik atau ruang tamu sebagai hiasan.

“Penanaman pokok berkenaan boleh dijadikan hobi atau aktiviti keluarga hujung minggu. Produk ini juga dapat menjimatkan perbelanjaan harian dengan pemakanan yang sihat daripada tanaman organik,” katanya.

Khairul Aidil Azlin berkata, pembangunan reka bentuk Dekoponix sudah dijalankan sejak 2014 melalui kajian pasaran, lakaran idea, pembuatan prototaip dan acuan.

Sementara itu, inovasi Multi Hidroponik sudah dicipta graduan Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM, Izyan Syamimi Zainol.

Menurutnya, reka bentuk Multi Hidroponik dihasilkan berdasarkan kajian yang dijalankan sebagai pemangkin kepada penduduk bandar.

“Multi Hidroponik direka berkonsep modular dan memberi ruang kepada pengguna untuk mengawal kuantiti dikehendaki yang berbeza dari produk hidroponik di pasaran.

“Produk ini juga direka khas untuk diletakkan pada dinding rumah atau ruang lain dalam rumah sebagai hiasan. Begitu juga dengan susun atur, Multi Hidroponik memberi kebebasan kepada pengguna,” katanya.

Izyan Syamimi berkata, cara pemasangan Multi Hidroponik semudah memasang bingkai gambar pada dinding tanpa mengeluarkan kos yang tinggi.

“Baja sedia ada di dalam Multi Hidroponik dapat bertahan lebih setahun dan mudah di tukar ganti. Antara tanaman yang sesuai adalah sayuran dan herba termasuk pegaga, ulam raja kesum, pudina dan hempedu bumi.

“Selain itu, tanaman dekorasi seperti nyonya makan sirih, bunga seri pagi dan bunga ros Jepun. Proses rekaan produk hingga penghasilan prototaip produk mengambil masa enam bulan.

“Kini produk Multi Hidroponik dalam proses penghasilan secara komersial untuk dipasarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 10:06 AM