MOHMAD Salleh (dua kiri) menunjukkan senjata api dirampas polis. FOTO Bernama
Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Polis menyelesaikan beberapa kes bunuh, samun kedai emas dan curi kenderaan selepas menahan lima lelaki dalam Op Cantas Khas di sekitar Selangor minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, Ops Cantas Khas itu susulan kejadian dua kes bunuh dan satu kes melarikan orang yang berlaku di Kajang dan Semenyih.

"Pada Jumaat lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di Bandar Sunway sebelum merampas kereta Toyota Camry dilaporkan hilang di Nilai, Negeri Sembilan Ogos tahun lalu.

"Tangkapan itu membawa polis ke rumah suspek di Taman Bukit Mewah, Kajang dan merampas sebuah Perodua Myvi yang dilaporkan disamun Januari di Selayang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan polis di dalam kenderaan itu menemui empat pistol dan 69 peluru hidup pelbagai jenis, tiga kelongsong peluru, satu plastik tali pengikat, tiga tukul besi, satu parang, dua alat pemotong dan cop atas nama syarikat emas beralamat di Batu Pahat, Johor.

Mohmad berkata, tangkapan suspek kemudian membawa kepada penangkapan empat lagi lelaki di Kajang, Dengkil dan Bangi pada Sabtu dan Ahad lalu.

"Semua suspek berusia 28 hingga 29 tahun itu ditahan reman selama enam hari sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut. 

"Hasil kejayaan tangkapan ini, polis menyelesaikan kes samun kedai emas di Lembah Klang dan Negeri Sembilan sejak 2013. Siasatan juga mendapati suspek terbabit dalam beberapa siri kes pembunuhan menggunakan senjata api di Kajang sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 4:00 PM