OMBAK besar menyukarkan operasi mencari mangsa yang hilang. FOTO ihsan pembaca
Oleh Helmy Abd Rahman dan Zatul Iffah Zolkiply
am@hmetro.com.my


Setiu: Dua pelajar tahfiz dikhuatiri lemas, manakala seorang diselamatkan orang awam ketika mandi di Pantai Rhu 10, di sini, kira-kira 9.30 pagi tadi.

Jurucakap bomba berkata, dua pelajar berkenaan ialah Mohd Naim Adnan berasal dari Kampung Seri Bengkal, Batu Pahat dan Mohd Wafiq Mohd Nor dari Mukim 6, Parit Yaani, Yong Peng, Johor.

Menurutnya, pelajar yang diselamatkan pula dihantar ke hospital berhampiran oleh orang awam sebelum pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian.

"Kami menerima panggilan pada 9.46 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.

"Pasukan penyelamat terdiri daripada bomba, polis, JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) dan orang awam bagaimanapun buat masa ini hanya dapat meneruskan pencarian di persisir pantai berikutan ombak besar yang menyukarkan usaha mencari mangsa yang masih hilang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 1:28 PM