Oleh Kamaruzaidi Kamis dan Che Wan Badrul Alias
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Bhd (TM) terus memacu rantai revolusi baharu dalam liputan telekomunikasi berkelajuan tinggi menerusi pelaksanaan projek pemangkin Projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) dan Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi Fasa Ke-2 (HSBB2).

Ia sekali gus mempertingkatkan pengalaman melayari Internet dan data yang lebih berkualiti serta menyeluruh untuk rakyat Malaysia.

Baru-baru ini, Peneraju Konvergens di Malaysia itu mengumumkan ia sudah menerima ‘lampu hijau’ untuk melaksanakan HSBB2 dan SUBB dengan kos masing-masing sebanyak RM1.8 bilion dan RM1.6 bilion dalam tempoh 10 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, perubahan gaya hidup digital dalam kalangan pengguna yang ketara ketika in, mendorong gergasi telekomunikasi itu memantapkan lagi serta ‘menyegarkan’ kedudukannya dalam menyediakan perkhidmatan diingini pengguna.

Beliau berkata, sebelum ini TM hanya sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi talian tetap dengan perkhidmatan mudah alih serta jalur lebar dalam bangunan.

Namun begitu, syarikat itu terus melangkah dengan penyediaan akses Internet luar bangunan dengan teknologi 4G WiMAX hasil pengambilalihan Packet One Networks (Malaysia) Sdn Bhd (P1).

“TM menerajui perkhidmatan Internet dalam bangunan menerusi teknologi jalur lebar dan kini menerusi teknologi liputan tanpa wayar WiMAX, kami dapat menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan ketika di luar bangunan.

“P1 memiliki spektrum lebih tinggi iaitu 2.3 GHz (GigaHertZ) dan 2.6 GHz. Sebelum ini kami sudah ada 850 MHz menggunakan CDMA dan dipertingkatkan kepada LTE menerusi perkhidmatan TMgo untuk kawasan luar bandar.

“Susulan itu kami dapat menyediakan liputan menyeluruh dan capaian pengguna lebih meluas ke kawasan luar bandar untuk semua pengguna menikmati Internet berkelajuan tinggi menerusi sambungan jalur lebar gentian optik dan 4G WiMAX,” katanya dalam temu bual bersama wartawan kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut Zamzamzairani berkata, pelaksanaan SUBB dan HSBB2 adalah sejajar Agenda Pembangunan Nasional terutama dalam memperluaskan rangkaian telekomunikasi termaju ke kawasan terpencil Malaysia.

Beliau yang pernah merasai keperitan membangunkan projek pedalaman sebagai jurutera satelit TM itu berkata, projek telekomunikasi mega itu akan turut memfokuskan usaha lebih besar bagi membangunkan perkhidmatan telekomunikasi jalur lebar SUBB dan HSBB2 di Sabah dan Sarawak.

Sabah serta Sarawak sangat penting kepada kumpulan dan memahami permintaan pengguna itu, TM kini menggerakkan jenteranya bagi menambah kawasan akses di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 6:47 AM