TIDAK sabar menghiburkan peminat di Johor Bahru 25 Disember ini.
Oleh Redzuan Muharam
am@hmetro.com.my


Kehadiran Wings ke Johor Bahru sempena siri jelajah promosi Konsert 30 Tahun Wings : Back To 80s mengubat ke­rinduan peminat mereka di selatan tanah air.

Buktinya, lebih 200 peminat tegar kumpulan rock legenda itu setia menunggu kehadiran Wings yang dianggotai Awie (penya­nyi), Joe (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram) di Plaza Angsana.

Konsert 30 Tahun Wings: Back To 80s akan diadakan di Padang B, Plaza Angsana, 25 Disember ini bermula jam 4 petang.

Kedatangan Wings diiringi sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang bersama-sama memeriahkan acara pada petang berkenaan.

Johor Bahru menjadi lokasi kesembilan siri jelajah promosi selepas Kuala Lumpur, Seremban, Tampin, Melaka, Muar, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Pasir Gudang.

Siri jelajah membabitkan sesi ramah mesra selama sejam itu berlangsung dalam suasana santai dan peminat yang membeli tiket konsert pada acara itu cukup bertuah kerana dapat bertemu lebih dekat dengan Wings sekali gus tidak melepaskan peluang untuk bergambar dan mengambil autograf.

Awie ketika ditemui mengakui terkejut dengan sambutan peminat terhadap siri jelajah yang diadakan sejak 10 Disember lalu.

Menurut Awie, kehadiran peminat melebihi jangkaan dan berharap kemeriahan itu berterusan sehingga malam konsert nanti.

“Kami sangka sambutan terhadap siri jelajah promosi ini sederhana saja berikutan ini konsert kedua Wings pada tahun ini selepas penganjuran pertama di Stadium Merdeka, namun ternyata ia lebih menggalakkan.

“Malah, pengalaman memasuki kampung sepanjang siri jelajah ini juga menyeronokkan kerana peminat di sana memberi sokongan luar biasa,” katanya yang akan mempersembahkan lebih 20 lagu pada konsert nanti.

Mengulas mengenai kehadiran peminat ke konsert berkenaan, Awie berkata, mereka yakin dapat menarik sekurang-kurangnya 10,000 penonton ke konsert bertemakan rock 1980-an itu.

Menurutnya, pemilihan Johor Bahru sebagai lokasi konsert juga tepat dan ia memberi kelebihan kepada Wings untuk menarik kehadiran peminat dari Singapura dan Batam, Indonesia.

“Dalam konsert pertama yang diadakan pada 30 Oktober lalu, lebih 25,000 peminat membanjiri Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dan tidak mustahil sambutan kali ini juga memberangsangkan .

“Kami tidak meletakkan sasaran tertentu, tetapi kehadiran sekurang-kurangnya 10,000 peminat sudah dianggap satu rahmat buat kami,” katanya mengenai konsert yang mendapat tajaan Age Tech itu.

Gabung muzik tradisional

Mengenai perancangan tahun depan, Awie berkata, Wings bercadang mengadakan persembahan yang menggabungkan elemen tradisional.

Ia dilakukan bagi membuktikan Wings adalah kumpulan yang ‘versatile’ dan tidak hanya terikat pada muzik rock semata-mata.

Kali terakhir Wings beraksi di Johor Bahru ialah ketika menjayakan Konsert Double Trouble bersama Search di Stadium Larkin, lima tahun lalu.

Konsert kali ini turut menampilkan beberapa band indie dari Johor termasuk penyanyi jemputan seperti Ronnie, Aweera, Azlan (Typewriter), Saiful Apek, Yassin dan bekas anggota­nya iaitu Syam, Jojet, Mel dan Mus.

Tiket berharga RM35 untuk pelajar dan RM65 bagi tiket biasa, RM100 (Rock Zone) dan RM600 (VIP). Maklumat lanjut mengenai tiket layari laman web ticket­hotline.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 5:00 AM