Pramugari, Khairunissa Jailani pada pelancaran penerbangan pertama Rayani Air hari ini dari klia2 ke Lapangan Terbang Langkawi. FOTO Ghazali Kori
Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Langkawi: Rayani Air Sdn Bhd (Rayani Air), syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia melancarkan penerbangan sulungnya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ke Lapangan Terbang Langkawi, di sini, hari ini selepas menerima Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Pengendali Udara (AOC) daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Jumaat lalu.

Pengarah Urusannya Jaafar Zamhari berkata, penerbangan yang membawa 135 penumpang itu dilihat memiliki tarikan tersendiri kerana Langkawi adalah pangkalan atau hab bagi syarikat itu ke dua destinasi buat masa ini iaitu Kuala Lumpur dan Kota Bharu.

“Kami menerima sambutan menggalakkan meskipun tempahan hanya mula dibuka kepada orang awam melalui portal dalam talian syarikat seminggu lalu dan kami yakin laluan yang diperkenalkan ini mampu menarik lebih ramai ke Pulau Langkawi pada masa depan ,” katanya pada sidang media selepas ketibaan pesawat pertama Rayani Air di sini, hari ini.

Syarikat penerbangan tempatan itu menawarkan penerbangan dua kali sehari bagi penerbangan dua hala dari Kuala Lumpur-Langkawi dan Kuala Lumpur- Kota Bharu melalui dua pesawat Boeing 737-400.

Apa yang menarik, ia menawarkan konsep penerbangan patuh syariah merangkumi pramugari wanita Islam yang memakai tudung dan bukan Islam berpakaian sopan, makanan dijamin halal dan bacaan doa sebelum memulakan penerbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 8:01 PM