KERANGKA motosikal curi yang ditemui semula oleh polis ekoran penangkapan 11 anggota 'Geng Mat Daud' di Langkawi. FOTO ihsan polis
Oleh Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


Langkawi: Polis berjaya melumpuhkan 11 ahli Geng Mat Daud berusia 16 hingga 37 tahun yang aktif dalam kegiatan curi motosikal, pecah rumah dan ragut di Pulau Langkawi.

Ketua Polis Langkawi Superintendan, Dr Che Ghazali Che Awang berkata, suspek utama berusia 16 tahun ditahan polis hasil maklumat orang awam pada 9 Disember.

Menurutnya, penahanan suspek itu kemudian berjaya menahan 10 lagi rakannya di sekitar Pulau Langkawi.

“Hasil siasatan ke atas semua suspek, polis mendapati kumpulan itu sudah melakukan 34 kes jenayah iaitu kes curi motosikal sebanyak lima kes, manakala pecah rumah, kedai dan masjid 29 kes sepanjang tahun ini.

"Polis juga berjaya merampas empat buah motosikal, masing-masing satu rangka dan komponen motosikal serta kereta, selain pembersih hampagas yang dilaporkan hilang sekitar daerah ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 9:58 AM