BARISAN artis yang tercalon dalam Anugerah MET10.
Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Seramai empat penyanyi Inggeris tanah air iaitu Jin Hackman, Resh, kumpulan Paperplane Pursuit dan De Fam mendominasi senarai pencalonan Anugerah MET10 yang bakal berlangsung pada 16 Januari ini.

Mereka tercalon dalam empat daripada tujuh kategori yang dipertandingkan berdasarkan pilihan pendengar stesen radio hitz fm.

Kategori itu adalah Artis Lelaki Terbaik, Artis Wanita Terbaik, Kumpulan Terbaik, Lagu Terbaik, Persembahan Live Terbaik, Video Muzik Terbaik dan MET10 Breakthrough Act.

Manakala pemenang kategori Artis Terbaik akan ditentukan barisan panel juri Anugerah MET10.

Pemenang bagi setiap kategori akan membawa pulang hadiah berupa trofi dalam majlis yang akan diadakan di sekitar Lembah Klang nanti.

Pada sidang media kelmarin, kumpulan pop rock Paperplane Pursuit teruja menerima empat pencalonan dalam kategori Kumpulan Terbaik, Lagu Terbaik, Persembahan Live Terbaik dan Video Muzik Terbaik.

Pencalonan itu bagi single baru kumpulan dianggotai John O (penyanyi), Dru Yap (dram), Isaac Ravi (gitar) dan The Chief (bass), Who’s Gonna Stop Me? yang diperkenalkan pada Ogos lalu.

John berkata, pencalonan itu sebagai tanda pengiktirafan Paperplane Pursuit dalam industri seni muzik Inggeris tanah air.

“Kami tidak menjangkakan akan tercalon dalam Anugerah MET10 kerana tujuan utama kumpulan ini adalah menghasilkan muzik dan bukannya untuk menang anugerah,” katanya.

Berkongsi sedikit mengenai perkembangan Paperplane Pursuit, John berkata, mereka kini sibuk dengan persiapan album baru yang akan dikeluarkan tahun depan.

“Malah, kami juga merancang untuk mengadakan konsert jelajah pertama di Amerika Syarikat pada tahun depan.

“Kami memilih negara itu kerana ia pusat pengeluaran muzik Inggeris dan sudah tentu ia satu cabaran besar kerana saingannya sangat besar,” katanya.

Pada September lalu, Paperplane Pursuit tersenarai dalam carta lagu Amerika Syarikat, Billboard Top 40 menerusi single Feel Good sekali gus menandakan penerimaan lagu mereka di peringkat antarabangsa.

Paperplane Pursuit turut terkenal menerusi single What If, Beat of Your Love dan Feel Good.

Turut mendapat banyak pencalonan adalah pe­nyanyi OJ Law yang tersenarai dalam tiga kategori iaitu Artis Lelaki Terbaik, Lagu Terbaik dan Video Muzik Terbaik.

Jake dan Jason jadi pengacara

Istimewanya, Ketua Pegawai Eksekutif Astro Radio Jake Abdullah akan berganding dengan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk Jason Lo sebagai pengacara untuk malam kemuncak Anugerah MET10.

Jake berkata, keputusan mengembalikan penganjuran siri kedua Anugerah MET10 bagi menghargai usaha penyanyi Inggeris tanah air.

“Anugerah ini pernah dianjurkan 10 tahun lalu namun tidak diteruskan kerana sambutan kurang memuaskan.

“Namun dengan kejayaan beberapa artis Malaysia mengembangkan karier di peringkat antarabangsa meyakinkan kami untuk mengembalikan anugerah ini,” katanya.

Jake berkata, penyanyi lagu Melayu mempunyai pelbagai platform untuk mempromosikan karya mereka dan penyanyi Inggeris tidak seharusnya dipinggirkan.

“Sebenarnya Malaysia mempunyai ramai penyanyi Inggeris yang hebat dan platform seperti Anugerah MET10 terhad.

“Saya berharap orang ramai dapat hadir untuk memberi sokongan mereka kepada penyanyi Inggeris tanah air,” katanya.

Antara barisan artis yang bakal membuat persembahan malam kemuncak Anugerah MET10 nanti ialah De Fam, Jin Hackman, Paperplane Pursuit, OAG dan Jason Lo.

Pembaca boleh mengundi penyanyi kegemaran dengan melayari laman web hitz fm atau www.met10awards.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 9:51 AM