Kuala Lumpur: Kerajaan optimis melonjakkan penguasaan pasaran pemain industri pembinaan kapal sokongan pesisir (OSV) yang ketika ini hanya merekodkan angka 40 peratus kepada 80 peratus menjelang 2020.

Usaha itu didorong pengenalan beberapa garis panduan membabitkan teknologi, pembiayaan kewangan, insentif selain promosi produk ke pasaran luar.

Naib Presiden Kanan Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) Datuk Ir Kamarulzaman Zainal (gambar) berkata, sasaran selari matlamat membantu pemain industri OSV yang dilihat bersaing sengit dengan syarikat asing yang ketika ini mendominasi segmen itu.

“Kami juga mahu memanfaatkan industri berkaitan minyak dan gas (O&G) yang kini sedang menapak kukuh di Malaysia termasuk oleh PETRONAS.

“Pada masa sama, kami mahu meningkatkan pasaran eksport pemain industri ini kepada dua peratus berbanding satu peratus sekarang,” katanya pada sidang media sempena Forum Industri Marin Kebangsaan ke-3 anjuran Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM), MIGHT, Institut Maritim Malaysia (MIMA) dan Cawangan Bersama RINA IMarEST Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden AMIM merangkap Pengerusi MIMA, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor.

Beliau berkata, MIGHT sudah meletakkan tujuh strategi mendokong inisiatif penguasaan pasaran termasuk melihat kaedah terbaik penghasilan produk selain mempercepatkan pengeluaran selain produktiviti pemain industri sedia ada.

Pada masa sama, bantuan kerajaan seperti pembiayaan kewangan dan insentif kumpulan sasar sedang diusahakan supaya dapat menggalakkan aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) agar mampu menembusi pasaran luar.

Menurutnya, Malaysia perlu mengambil inisiatif menjadi pengeluar teknologi dan tidak hanya membawa masuk teknologi daripada syarikat asing.

Sementara itu, Ahmad Ramli berkata, kerajaan perlu mewujudkan dasar atau peraturan khusus melonjakkan prestasi pemain industri OSV supaya mampu bersaing dengan syarikat luar.

Katanya, negara asing seperti China dan Singapura sudah disediakan polisi atau dasar khusus dalam aspek pentadbiran, percukaian dan perbankan oleh kerajaan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:16 AM