Abdul Jalil (lima dari kanan) dan Vincent (empat dari kanan) bersama penceramah menunjukkan jam tangan yang bakal menjadi rebutan pengunjung pada Pameran Hartanah MyRumah.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pameran Hartanah MyRumah anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dengan kerjasama Kumpulan Andaman yang julung kali diadakan, dijangka menerima 15,000 pengunjung bagi acara yang berlangsung selama tiga hari.

Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid berkata, pameran itu diadakan bagi memberi peluang kepada pembaca akhbar terbitan NSTP untuk mendapatkan kediaman mampu milik yang ditawarkan pada harga kurang daripada RM500,000.

“Selain menjadi acara yang dapat merapatkan hubungan kami dengan pembaca, ia juga dijangka menjadi platfrom terbaik untuk pembaca khususnya yang baru pertama kali bercadang mendapatkan kediaman,” katanya pada sidang media mengenai acara berkenaan, semalam.

Menurutnya, pihaknya memberi tumpuan kepada segmen kediaman mampu milik memandangkan ia menjadi pilihan utama bakal pembeli kediaman atau mereka yang bergelar pelabur hartanah.

“Kami mengutamakan kediaman mampu milik sebagai sasaran utama pameran ini dan bukan kediaman daripada segmen mewah kerana ia bersesuaian dengan bajet semua peringkat pengguna,” katanya.

Pameran Hartanah MyRumah yang dibuka kepada orang ramai secara percuma akan diadakan pada 8, 9 dan 10 Januari tahun depan bermula dari jam 10 pagi hingga 6 petang di Balai Berita, Bangsar.

Selain pameran daripada 12 peserta pameran yang terdiri daripada pemaju dan bank, ia juga akan memuatkan sesi ceramah berkaitan hartanah meliputi pelbagai topik perbincangan berbeza.

Sementara itu, Pengarah Urusan Andaman Property Management Sdn Bhd, Datuk Seri Vincent Tiew berkata, pameran itu berbeza dengan kebanyakan pameran hartanah yang sering dianjurkan kerana ia lebih mengutamakan aspek pendidikan kepada bakal pembeli.

“Selain menawarkan pelbagai projek kediaman, pameran ini juga memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan pandangan daripada pakar hartanah yang akan berkongsi pengalaman, tips dan strategi dalam menguruskan hartanah masing-masing.

“Kami menampilkan sehingga 20 penceramah daripada latar belakang berbeza yang sedia berkongsi pengalaman mereka dengan pengunjung yang mahu menjadikan kediaman sebagai medium pelaburan jangka panjang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 6:37 AM