Tiga awak-awak warga Indonesia yang ditahan. FOTO ihsan APMM
Oleh Norashikin Leman
am@hmetro.com.my


Pelabuhan Klang: Tiga awak-awak warga Indonesia berusia 25 hingga 32 tahun yang menangkap ikan pada jarak kira-kira 21 batu nautika dari perairan Sekinchan, Selangor ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira 8 pagi tadi.

Ketua Penguat kuasa Maritim Daerah Klang Kapten Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, bot nelayan tempatan kelas C itu ditahan kapal ronda APMM ketika Ops Satria selepas mendapati ia dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui seorang tekong dan tiga awak-awak warga asing di bot berkenaan.

"Hasil siasatan lanjut, tiga warga asing dari Indonesia itu dipercayai tidak mendapat kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk bekerja di bot berkenaan serta tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

"Bot bersama warga asing itu ditahan dan dibawa ke jeti Daerah Maritim Klang untuk disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu kesalahan melanggar syarat dalam lesen dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu berada di Malaysia yang menyalahi undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 8:39 PM