ABDUL Wahid ketika membentangkan Prospek Ekonomi Malaysia 2016 di Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan akan menyemak semula Bajet 2016 yang dibentangkan pada Oktober lalu sekiranya prestasi harga minyak berada di bawah paras AS$48 (RM206) setong untuk tempoh yang panjang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, walau bagaimanapun pihaknya tidak berasakan harga komoditi itu akan kekal rendah untuk jangka masa panjang memandangkan syarikat pengeluar minyak pasti mengalami kerugian dan seterusnya menghentikan operasi pengeluaran minyak akibat kekurangan untung.

Beliau berkata, mengikut konsep ekonomi, jika berlakunya situasi pengeluaran minyak dikurangkan, ia akan mengurangkan pembekalan minyak, sekali gus menaikkan semula harga komoditi berkenaan.

“Bajet 2016 akan dikaji semula jika harga minyak mentah terus merosot kerana ketika Bajet 2016 dirangka, ia berdasarkan harga minyak mentah Brent pada paras AS$48 setong.

“Bagaimanapun, jika harga minyak menjadi tahap normal yang baharu iaitu dibawah AS$40 (RM172) setong, pelarasan tertentu akan dibuat. Pada pandangan saya harga minyak mentah tidak akan berada pada paras terlalu rendah untuk jangka masa lama. Masa akan tiba apabila ia pulih semula,” katanya selepas membentangkan Prospek Ekonomi Malaysia 2016 di sini, semalam.

Ketika ditanya mengenai unjuran prestasi ringgit pada tahun depan, beliau berkata, nilai mata wang negara berada pada tahap purata RM4.20 berbanding 1 dolar Amerika.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) 0.25 peratus, semalam, beliau berkata, Malaysia sudah bersedia dengan perkara itu memandangkan ia sesuatu yang dijangka pasaran dan penganalisis.

Abdul Wahid berkata, kerajaan sentiasa memantau perkembangan yang berlaku berikutan kenaikan kadar faedah berkenaan dan memandangkan peratusan kadar faedah itu dijangkakan, ia memudahkan kerajaan menumpukan rancangan berdepan kenaikannya.

“Dari segi sama ada akan berlaku aliran keluar modal asing di pasaran atau sebaliknya, pelabur yang menempatkan modal di negara ini lebih mengutamakan isu kestabilan dan struktur ekonomi negara.

“Ini kerana walaupun berlaku kenaikan kadar faedah, asas ekonomi Malaysia masih lagi kukuh dan kita akan meneruskan langkah untuk mempelbagaikan eksport negara dan tidak bergantung kepada satu sektor utama saja,” katanya.

Semalam, Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah buat pertama kali dalam tempoh hampir sedekad, yang secara tidak langsung menandakan negara kuasa ekonomi dunia itu cuba untuk mengatasi kesan krisis kewangan yang melanda pada 2007 hingga 2009.

Selain itu, berdasarkan jawatankuasa penetapan dasar bank pusat AS yang bersidang semalam, menaikkan kadar faedah sebanyak satu perempat daripada satu mata peratus kepada antara 0.25 peratus dan 0.50 peratus, sekali gus menamatkan perdebatan yang panjang sejauh mana kekuatan ekonomi cukup untuk menampung kos pinjaman tinggi.

Terdahulu, penganalisis pasaran melahirkan kebimbangan langkah kenaikan kadar faedah itu akan menjejaskan lagi ekonomi Malaysia dan serantau memandangkan jangkaan pelabur asing akan menarik keluar pelaburan di pasaran modal tempatan dan akan menempatkan dana mereka di pasaran kewangan Amerika Syarikat yang dijangka memberi lebih keuntungan.

Namun, indeks utama Bursa Malaysia mempamerkan prestasi positif apabila kadar asas FBM KLCI meningkat 22.39 mata kepada 1,656.52 setakat jam 5 petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 6:19 AM