Sufi yang dipercayai dilarikan guru silat. FOTO Nabihah Kamal
Oleh Nabihah Kamal

am@hmetro

Kajang: Lelaki berusia 30-an yang juga guru silat kini diburu polis selepas dipercayai melarikan remaja perempuan berusia 13 tahun yang keluar dari rumahnya di Taman Pinggiran Delima, Batu 14, Hulu Langat, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, lelaki terbabit dipercayai melarikan Sufi Arifah selepas remaja itu keluar dari rumah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, suspek diburu selepas polis mengambil keterangan daripada lelaki yang juga anak murid suspek.

"Anak muridnya itu mengaku bekerjasama dengan suspek untuk melarikan mangsa. Dia juga ada memberitahu, guru silatnya itu akan membawa mangsa ke Thailand untuk bernikah.

"Kita masih menjalankan siasatan bagi memburu suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah meminta bantuan unit risikan sempadan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan mangsa dan suspek.

"Kita sudah hantar semua maklumat dan butiran suspek serta mangsa dan operasi mengesan mereka giat dijalankan di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Padang Besar, Perlis," katanya.

Katanya, suspek sebelum ini mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Sebelum ini, Sufi dilaporkan hilang selepas bapanya memeriksa bilik anaknya itu pada 3 pagi dan mendapati dia tiada di bilik tidurnya.

Bapanya, Mohd Rizal Johari, 40, yang bimbang terus membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 9:39 PM