Oleh Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my


Seremban: Syarikat pembinaan, Sara-Timur Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan mencuri air di tapak pembinaan di Nilai, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, pengarah syarikat itu, Khoo Yee Yong, 57, mengaku tidak bersalah sebaik kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim N Kanageswari.

Mengikut pertuduhan, syarikat terbabit didakwa membuat sambungan ke paip air perkhidmatan milik Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) di tapak pembinaan Lot PT 29470 dan Lot PT 29471, Bandar Techpark @Enstek, Nilai, pada 18 September 2012.

Berikutan itu, syarikat didakwa mengikut Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 123 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Mohd Helmy Razelan manakala tertuduh diwakili Melissa Lim Shi Hui dan mahkamah menetapkan 7 Januari depan untuk pengurusan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 3:55 PM