PERBARISAN Stormtroopers sempena tayangan perdana Star Wars : The Force Awakens.
Susunan Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my


Perbarisan Stormtroopers dan droid yang bergolek di karpet merah adalah antara yang menarik sempena tayangan perdana filem paling dinanti-nanti iaitu Star Wars: The Force Awakens di Hollywood Boulevard, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), Isnin lalu.

Filem arahan J J Abrams ini adalah siri ketujuh Star Wars selepas kali terakhir ditayangkan dengan Star Wars Episode III : Revenge of the Sith pada 2005.

Ia ditayangkan di negara ini mulai hari ini dan AS yang bermula esok.

Pada majlis berkenaan, sebelum ketibaan barisan pelakon seperti Harrison Ford, Mark Hamill, Carrie Fisher, John Boyega, Daisy Ridley, Lupita Nyong’o, Max von Sydow, Gwendolyn Christie, Jon Favreau dan Janelle Monae, karpet merah ‘dilalui’ droid BB-8 berbentuk bola semakin popular sejak diperkenalkan dalam ‘trailer’ filem berkenaan.

Ia kemudian diikuti dengan droid yang sinonim dengan Star Wars iaitu C-3PO dan R2-D2.

Apa yang menarik, sekuel Star Wars kali ini berlatarkan kisah 30 tahun selepas Star Wars Episode VI : Return of the Jedi dan turut menampilkan pelakon asalnya seperti Harrison Ford sebagai Han Solo, Mark Hamill (Luke Skywalker) dan Carrie Fisher (General Leia).

Ford dalam satu temu bual berkata, wataknya sebagai Han Solo bermula dalam Star Wars Episode I : A New Hope pada 1977 membuatkan dia menjadi ‘superstar’.

“Pada tahun 1970-an, tiada siapa boleh menjangkakan filem seperti Star Wars. Tidak ada sesiapa pernah melihat filem seperti itu,” katanya.

Tayangan perdana filem berkenaan turut disifatkan sebagai yang terbesar pernah diadakan di Hollywood.

Hampir satu kilometer laluan di Hollywood Boulevard terpaksa ditutup dan filem berkenaan ditayangkan di tiga pawagam di situ.

Kira-kira 5,000 tetamu termasuk selebriti yang diundang sememangnya tidak sabar untuk menyaksikan ‘reunion’ watak Luke Skywalker, Princess Leia dan Han Solo selepas kali terakhir muncul dalam Return of the Jedi pada 1983.

Malah, sebahagian peminat yang hadir turut mengenakan kostum seperti juruterbang pesawat X-Wings dalam Star Wars.

Pengarahnya, Abrams cukup terharu dengan sambutan pada majlis terbabit.

“Saya tidak pernah melihat situasi seperti ini. Ia cukup ‘gila’!” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah pencipta Star Wars, George Lucas dan pengarah filem terkenal Steven Spielberg.

Malah, pelakon terkenal Joseph Gordon-Levitt turut mencipta kejutan apabila hadir dengan mengenakan kostum Yoda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 12:25 PM