SCOLARI (kanan) memantau sesi latihan pemainnya.

Yokohama: Jurulatih Guangzhou Evergrande Luiz Felipe Scolari melaungkan amaran terhadap Barcelona supaya menjangkakan saingan getir pada separuh akhir Piala Kelab Dunia di Yokohama hari ini.

“Barcelona satu daripada pasukan terbaik di dunia, setiap orang tahu mengenainya,” jelas pengendali Brazil itu semalam. “Namun pemain saya memiliki keazaman dan semangat untuk menyukarkan mereka dan saya jangka mereka membuktikannya esok (hari ini).”

Penyerang Barca Neymar dijangka terlepas perlawanan itu kerana kecederaan pangkal paha, namun Scolari menegaskan ketiadaan pemain Brazil itu tidak mencetus sebarang perbezaan.

“Neymar seorang daripada tiga pemain terbaik dunia,” ujar bekas jurulatih Brazil itu, pasukannya Evergrande mengejutkan Club America dari Mexico 2-1 pada suku akhir hujung minggu lalu.

“Dia berpotensi menjadi pemain terbaik dunia dalam tempoh lima tahun lagi tapi Barcelona mempunyai 25 Neymar. Mereka memiliki kualiti di setiap posisi.

“Mereka ada (Lionel) Messi, (Luis) Suarez, (Andres) Iniesta, senarai ini berterusan. Pemain yang boleh menghukum anda,” katanya. “Ia pasti satu cabaran besar tapi kami sedia menghadapinya.”

Scolari, yang dikenali sebagai ‘Big Phil’ di negara kelahirannya Brazil, mempunyai memori indah dengan Yokohama, selepas mengemudi negaranya merangkul kejuaraan Piala Dunia kali kelima pada 2002 apabila mereka menundukkan Jerman 2-0 pada aksi final.

“Apabila kami tiba dengan bas hari ini saya sempat mengimbau kenangan itu,” ujar Scolari. “Ia tempat yang amat hebat buat Brazil. Tapi, babak itu sudah berlalu dalam hidup saya jadi tunggu dan lihat apa yang akan berlaku selepas ini.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 7:42 AM