Tahun perubahan dalam golf menyaksikan kebangkitan tiga pemain hebat baru, mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tiger Woods yang semakin merudum.

Jordan Spieth, Jason Day dan Rory McIlroy menamatkan tahun ini dalam kelompok tiga pemain terhebat dunia dan persaingan mereka dijangka terus sengit tahun depan.

Spieth yang baru berusia 22 tahun, termuda di antara ketiga-tiganya dan kisahnya menjadi tumpuan tahun ini.

Dia memenangi Masters untuk gelaran major pertamanya pada April diikuti dengan Terbuka AS dua bulan kemudian. Dia kemudiannya meneruskan aksi di St Andrews dan dikhabarkan bakal melengkapkan Grand Slam sepanjang tahun itu.

Dia hampir menyamai pencapaian Ben Hogan pada 1953, memenangi tiga gelaran major buat kali pertama, namun bogey pada lubang ke-17, menyebabkannya ketinggalan satu pukulan dalam aksi playoff tiga pemain yang dimenangi Zach Johnson.

Spieth kemudiannya kehilangan status nombor satu dunia yang dirampas dari McIlroy pada Jun kepada pemain Australia, Day berusia 27 tahun yang memenagi empat kejohanan dari akhir Julai hingga pertengahan September termasuk major pertama pada Kejuaraan PGA.

Pemain Texas itu akhirnya merampas kembali tangga nombor satu menerusi kemenangan dalam Kejohanan Jelajah dan Piala FedEx.

McIlroy sebaliknya mempamerkan aksi tidak menentu tahun ini gagal menambah koleksi empat gelaran major yang dimenanginya sebelum ini.

Dia perlu menyalahkan dirinya kerana gagal mempertahankan gelaran Terbuka Britain kerana kecederaan ligamen tumit selepas bermain bola sepak bersama rakan.

Namun pemain Ireland Utara berusia 26 tahun itu menamatkan aksi tahun ini dengan cemerlang, hasil kemenangan di Dubai menerusi Kejohanan Jelajah Dunia DP dan Jelajah Eropah Race to Dubai.

Spieth berharap dapat dapat memenangi satu lagi kejohanan utama pada 2016 namun percaya masih terlalu awal untuk meletakkan dirinya dan Day setaraf McIlroy.

“Saya fikir Rory agak berbeza kerana dia begitu konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan,” katanya.

“Masih terlalu awal dalam karier saya jadi sukar untuk membandingkan saya dengan yang lain. Namun ia tahun yang menakjubkan dalam golf, ramai pemain muda bermain dengan baik.

“Jika Rory sihat sepanjang tahun, dia mungkin mencipta impak lebih hebat berbanding beraksi dalam tempoh terhad musim ini.

“Apa yang dilakukan Rickie Fowler musim ini dengan tiga kemenangan, selain saya dan Jason sudah pasti ia sesuatu yang mengujakan.

McIlroy berkata dia belajar daripada kecuaian ketika bermain bola sepak yang menyebabkan kecederaan dan semakin bersemangat dengan cabaran Spieth dan Day.

Namun fokusnya ketika ini adalah Masters di Augusta National pada April di mana dia akan mencuba buat tahun kedua berturut-turut untuk menjadi pemain keenam memenangi keempat-empat gelaran major itu.

“Saya akan terus berada di sana sehingga dapat menyarung jaket hijau,” katanya.

“Jelas sekali ia matlamat saya untuk cuba memenangi Masters dan berada dalam keadaan terbaik untuk beraksi di sana.

“Namun golf berada di tahap yang hebat. Mereka bermain lebih baik, sekurang-kurangnya bagi saya dalam tempoh beberapa tahun lalu.”

Bagi Woods, pemenang 14 gelaran major yang bakal berusia 40 tahun pada 30 Disember ini, masa depannya dalam sukan ini semakin kabur.

Ditanya pada awal bulan ini sama ada dia tidak akan beraksi pada 2016 berikutan dalam proses pemulihan dua pembedahan belakang pada September dan Oktober, Woods berkata: “Tahukah anda, saya pernah disoal begini kebelakangan ini dan jawapannya saya tidak tahu kerana saya benar-benar tidak tahu.

“Sepanjang 20 tahun ini, banyak yang saya capai dan jika itulah yang diperlukan saya rasa ia sudah cukup baik namun saya berharap ia tidak berakhir di situ.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 2:07 PM