Oleh Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Sebelum 2015 melabuh tirainya, Acer Malaysia mempersembahkan siri game mengagumkan termasuk tablet Predator 8, laptop Predator 15 dan 17 selain monitor Z35.

Tablet khas untuk permainan video berbentuk robotik, Predator 8 mempunyai kuasa pemprosesan Intel Atom yang turut menyokong Predator Quadio iaitu empat unit pembesar suara di depan menawarkan kualiti bunyi keliling.

Ia turut dilengkapkan dengan teknologi Predator ColorBlast memberikan warna skrin berkualiti tinggi daripada monitor profesional kepada tablet ini dan menyokong 100 peratus gamut warna NTSC.

Bagi laptop pula, Predator 15 dan 17 sudah pasti menawarkan saiz berdasarkan angka terbabit dengan rekaan kemasan berwarna merah serta kerangka berwarna hitam bersama garis geometri di samping salutan tekstur yang lembut.

Laptop hebat ini dikuasakan pemprosesan Intel Core terkini digabungkan bersama grafik NVIDIA GeForce berkelajuan tinggi, memori DDR4 pantas, sistem penyejukan canggih dan kemampuan audio premium.

Satu lagi ciri penting yang ada laptop Predator 15 dan 17 ialah panel kawalan permainan video PredatorSense membolehkan ciri dan kawalan permainan video diubah suai merangkumi kunci makro yang boleh diprogramkan dan kawalan lampu.

Monitor Acer Predator Z35 pula direka melengkung dengan 21:9 UltraWide HD penuh (2560 x1080) bersama kelengkungan 2000R dan NVIDIA G-Sync yang menawarkan pengalaman bermain permainan video mengasyikkan.

Ia menyokong ciri overclocking untuk menawarkan mode kadar refresh yang laju sehingga 200Hz.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 1:54 PM