PASUKAN Bagan Ajam OB mempamerkan Piala Sultan Azlan Shah selepas menjuarai Pesta Hoki USM.
Oleh Syed Ismail Syed Abu Bakar
sukan@hmetro.com.my


Georgetown: Piala Sultan Azlan Shah sah menjadi milik pasukan hoki Bagan Ajam OB yang dinobat selaku juara kategori perdana Terbuka Lelaki selepas membenam saingan terdekat Magic Zone B 2-1 pada aksi final Pesta Hoki Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang edisi ke-42 di kampus induk USM, Minden, hujung minggu lalu.

Keputusan cemerlang itu membolehkan Bagan Ajam OB meraih piala pusingan, wang tunai RM2,000, pingat dan hadiah sumbangan Milo yang disampaikan Pro Canselor USM Tan Sri Mustafa Mansur bersama Naib Canselor USM Datuk Prof Omar Osman.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM) Prof Datuk Dr Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa USM) Prof Datuk Dr Ahmad Shukri Mustapa, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi USM) Prof Datuk Dr Muhamad Jantan, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal dan Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM Muhammad Mohd Hanif.

Pemain Izwan Firdaus Tajuddin turut menceriakan Bagan Ajam OB apabila dipilih sebagai pemain terbaik, manakala Muhammad Azwar Abdul Rahim pula penjaring terbanyak sekali gus menerima pingat dan hadiah sumbangan Milo.

Naib juara pula disandang Magic Zone B yang menerima wang tunai RM1,400, pingat serta barangan Milo manakala Muhammad Shafie Shahrom dipilih sebagai penjaga gol terbaik.

Tempat ketiga dan keempat masing-masing menjadi milik USM PST A dan MBPJ JR berkongsi hadiah RM700, pingat dan barangan tajaan Milo.

Bagi ketegori terbuka lelaki klasik pula, UPM B muncul juara selepas menang tipis 2-1 ke atas Magic Zone A yang sekadar berpuas hati meraih naib juara pada aksi final.

Kemenangan itu membolehkan UPM B menerima Piala Raja Nazrin Shah, wang tunai RM1,200, pingat dan barangan tajaan Milo, manakala Magic Zone pula menbawa pulang wang tunai RM800, pingat dan barangan Milo.

Kategori terbuka wanita menyaksikan saingan hebat yang akhirnya menjadi milik UPM B selepas menewaskan Magic Zone Ladies 1-0 pada aksi final penuh debaran.

Bagi kategori veteran lelaki, TNB Kilat KL unggul apabila dinobat juara selepas menewaskan Kelab Sukan Pulau Pinang (PSC) 1-0 pada aksi final sekali gus menerima piala pusingan Veteran, wang tunai RM800, pingat dan barangan Milo.

Sebanyak 336 pasukan tempatan dan luar negara mengambil bahagian pada pertandingan selama empat hari itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 8:48 AM