MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. FOTO Effendy Rashid
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
Mriduwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Malaysia menyambut baik pembentukan perikatan 34 negara Islam bagi memerangi keganasan seperti diumumkan kerajaan Arab Saudi, hari ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, inisiatif diumumkan Arab Saudi itu adalah selari dengan pendirian tegas Malaysia berkaitan isu militan negara Islam (IS).

Katanya, beliau dihubungi rakan sejawatannya dari Arab Saudi, dua hari lalu memaklumkan perkara itu dan menyokong penuh inisiatif itu, namun bukan komitmen ketenteraan sebaliknya pendirian bersama memerangi keganasan.

"Saya memaklumkan beliau itu juga pendirian kita (Malaysia) terhadap IS.

"Namun, sebelum ini, pendirian itu dibuat berasingan dan kini secara bersama untuk memerangi keganasan," katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Inovasi Kementerian Pertahanan 2015 di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zain.

Menurut Hishammuddin lagi, pengumuman oleh Arab Saudi itu juga bukan suatu yang pelik, malah turut senada dengan pendirian 10 negara di rantau ini ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 2:18 PM