BLOK Lego ada di mana-mana saja, sedia menanti untuk dicantumkan.
PERTUNJUKAN pentas sempena cuti sekolah dan Krismas ini.
KANAK-KANAK pasti teruja di Legoland.
KAGUM melihat bangunan Lego di Miniland.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

Pertama kali menjejakkan kaki ke Legoland Malaysia Resort bersama keluarga pasti akan menggamit perasaan teruja di dalam hati dan semua tekanan kerja dapat dilupakan seketika.

Ibu bapa turut gembira dapat mencuba pelbagai permainan menarik yang disediakan di Legoland, apatah lagi anak yang sememangnya bertukar menjadi bersemangat dengan misi bermain sebaik mendengar perkataan 'Lego' pada Legoland.

Itulah yang dirasai penulis dan keluarga ketika berkunjung ke taman tema itu untuk percutian sehari semalam, baru-baru ini.

Dua anak penulis yang berusia tiga dan empat tahun seperti dijangka memang sangat teruja tatkala sampai ke tempat yang dipenuhi pelbagai mainan menarik, malah mereka sanggup menahan rasa mengantuk kerana mahu bermain sepuasnya.

Masa seolah-olah berlalu dengan pantas ketika berhibur di Legoland, malah sebaik pintu taman tema dibuka, kami sekeluarga jadi rambang mata, tidak tahu permainan mana yang hendak dicuba dulu.

Pelbagai jenis permainan yang menanti membuatkan keletihan berjalan mengelilingi taman tema itu seakan-akan hilang dan diganti dengan perasaan ingin mencuba setiap hiburan yang ditawarkan Legoland.

Begitulah penangan taman tema yang begitu luas dan terbahagi kepada dua bahagian iaitu Legoland Malaysia Resort dan Legoland Water Park.

Legoland Malaysia Resort terdiri daripada tujuh tarikan bertema sesuai untuk semua peringkat usia, daripada kanak-kanak kecil hinggalah mereka yang sudah bergelar warga emas.

Tujuh tarikan bertema yang pasti membuatkan setiap pengunjung terhibur adalah The Beginning, Lego Technic, Lego Kingdoms, Imagination, Lego City, Land of Adventure dan Miniland.

Pengunjung juga pasti terpesona dengan pelbagai bangunan terkemuka pada skala 1:20 di negara Asia yang berdiri kukuh di Miniland, diperbuat daripada lebih 30 juta blok Lego.

Selain menghiburkan, ia adalah tempat yang memberi keutamaan kepada kanak-kanak dan menjadikan mereka seolah-olah hero kerana boleh bermain sepanjang hari.

Bukan setakat hiburan, Legoland juga merupakan tempat sesuai untuk mendidik anak-anak menjadi kreatif apabila masing-masing kagum melihat bagaimana sesuatu bentuk yang amat terperinci dapat disiapkan melalui blok kecil Lego.

Blok Lego yang diletakkan di segenap sudut hotel termasuk di lobi dan bilik tetamu memberi peluang kepada kanak-kanak untuk terus bereksperimen menghasilkan bentuk yang digemari.

Lebih menarik, Legoland nyata unik kerana sepanjang berada di taman tema itu, muncul beberapa watak dalam dunia mereka sendiri yang akan mengejutkan dan 'mengenakan' pengunjung.

Ia sememangnya menghiburkan apabila tiba-tiba muncul 'polis' yang memberi arahan tertentu atau pencari harta karun yang sentiasa berusaha mencari emas dengan bertanya-tanya kepada pengunjung.

Tidak cukup dengan itu, ketika makan di restoran di taman tema itu, jangan terkejut sekiranya tiba-tiba didatangi kumpulan pemuzik yang sentiasa bersedia menyanyikan apa saja lagu yang diminta dengan merdu.

Sememangnya kunjungan ke Legoland meninggalkan memori terindah kepada kanak-kanak kerana ungkapan 'Legoland' sentiasa bermain di bibir biarpun sudah beberapa hari berlalu.

Sementara itu, bagi menjadikan percutian sekolah lebih meriah, Legoland kini turut memperkenalkan pentas pertunjukan serba baru, City Stage yang akan menghiburkan pengunjung dalam suasana selesa, tertutup dan berhawa dingin.

Menurut Pengurus Besar Legoland Malaysia Resort, Mark Germyn, ia menambah baik ruang pementasan itu bagi memberi keselesaan kepada pengunjung yang mahu menyaksikan persembahan daripada kumpulan pelakon pentas yang didatangkan khas dari Eropah.

"Persembahan Legoland itu berkisar pada kisah untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan melalui hiburan yang ditampilkan dan menyediakan pelbagai aktiviti menarik sepanjang cuti termasuk pertunjukan bunga api pada sambutan tahun baru nanti," katanya.

Persembahan pentas yang memaparkan enam pelakon itu membawakan kisah mengenai seorang ibu yang mahu meyakinkan anak lelakinya mengenai kemeriahan sambutan Krismas secara tradisional.

Menjelang sambutan perayaan Krismas juga, bermula 1 Disember hingga 25 Disember ini, Legoland akan memberi peluang kepada seorang pengunjung bertuah setiap hari untuk memenangi hadiah istimewa dengan cara membuka satu daripada 24 tingkap kalendar gergasi yang didirikan di taman tema itu.

Legoland turut menjalankan promosi istimewa ketika ini dengan menawarkan Pas Tahunan dengan satu tiket percuma untuk pembelian tiga tiket bagi kedua-dua Pas Standard dan Pas Premium.

Bagi pembaharuan pas, pengunjung dapat berjimat sehingga RM100 bagi Pas Tahunan Standard atau hanya menambah RM50 untuk menaik taraf ke Pas Premium.

Mereka juga boleh berjimat sehingga RM170 dengan pembahruan Pas Premium. Maklumat lanjut boleh didapati melalui www.legoland.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:04 AM