SAHTHYSWARAN (berdiri empat dari kiri) antara pemain dipilih
Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Shah Alam: Status anak yatim piatu tidak menghalang pemain muda berusia 17 tahun M Sahthyswaran dari Dynamix FC untuk menyerlah dalam dunia bola sepak apabila terpilih diterbangkan ke London untuk mendalami ilmu sukan itu bersama kelab bola sepak QPR.

Turut mengiringi Sahthyswaran ke London, Ariff Saufi Abdullah, 16, dari Tunas Jaya FC selepas menjadi pemain terbaik ketika siri jelajah klinik bola sepak AirAsia QPR di Stadium Shah Alam semalam.

Bagi Sahthyswaran kejayaannya banyak didorong dua abang dan ibu saudaranya yang menjadi tulang belakang meniupkan semangat untuk berjaya dalam bola sepak.

“Saya sangat gembira terpilih ke London. Ia sesuatu yang tidak dijangka dan memang menjadi harapan saya untuk ke sana. Terima kasih kepada abang dan ibu saudara saya yang sentiasa memberikan sokongan untuk berjaya dalam sukan ini,” katanya.

Kecekapan dan kepantasan mengawal bola serta keupayaan beraksi dengan baik membolehkan Sahthyswaran dan Ariff berpeluang merasai pengalaman sebagai seorang pemain bola sepak profesional, melawat Loftus Road di London, berlatih di padang latihan QPR dan meluangkan masa sehari di akademi kelab itu Mac ini.

Siri jelajah klinik bola sepak AirAsia-QPR di Malaysia memasuki tahun ketiganya dalam misi memberi inspirasi dan mencungkil bakat muda dalam bola sepak di Asia bermula dari peringkat akar umbi sambil menyumbang kepada komuniti.

Seramai 60 bakat muda antara umur 14-17 tahun diberi peluang berlatih bersama jurulatih profesional QPR, Martino Chevannes untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan di padang.

Program selama sehari itu dianjurkan dengan kerjasama kelab bola sepak tempatan, Dynamix dan Tunas Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 5:45 AM