SAIPOLBAHARI menunggang motosikal roda tiga selepas melawat PPHT.
Teks dan gambar Hai Rozzaman Jalal
rencana@hmetro.com.my

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan memberi fokus kepada enam transformasi sehingga tahun 2020 bagi memperkasa pertubuhan itu, sekali gus memberi manfaat kepada ahlinya.

Pengerusi NAFAS Datuk Seri Saipolbahari Suib berkata, antara fokus itu ialah penubuhan Dana Peladang Kebangsaan (DPK) untuk menyediakan perkhidmatan kewangan kepada ahli dan rangkaian Pertubuhan Peladang.

“Ia membabitkan NAFAS, 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), 276 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan 986,000 ahli Peladang berdaftar di seluruh negara.

“Dengan kekuatan dana yang dilaburkan dalam DPK, saya memberi jaminan sebuah bank eksklusif kepada ahli Peladang akan tertubuh dalam beberapa tahun akan datang.

“NAFAS akan memastikan perniagaan menggunakan modal daripada DPK mendapat keuntungan dan berkembang maju, sekali gus pulangan dalam bentuk dividen pada kadar 10 peratus atau lebih akan dibayar kepada pelabur sebagaimana yang dibayar dua tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PPK Bukit Gambir Kali Ke-38 dan perasmian PPHP PPK Bukit Gambir, Muar, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Johor Shammodin Abd Halim, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Bukit Gambir Hisamuddin Suhaimee dan Pengurus Besar PPK Bukit Gambir, Mohdas Ayob.

Saipolbahari yang juga Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) meminta semua ahlinya merebut peluang membuat pelaburan yang menguntungkan dalam DPK.

Mengenai Kedai Agrobazar Rakyat 1Malaysia, beliau berkata, NAFAS menyasarkan untuk mewujudkan 600 kedai di seluruh negara menjelang 2020.

Katanya, transformasi itu bertujuan membuat penambahbaikan kepada kedai Peladang dan beberapa kedai sedia ada di bawah satu jenama untuk memasarkan produk dihasilkan ahli.

“Sebanyak 25 Kedai Agrobazar Rakyat 1Malaysia dibuka pertengahan tahun ini bagi memberi peluang ahli Peladang memasarkan produk keluaran mereka di bawah satu bumbung.

“Pada hari ini produk kita tidak mendapat tempat di pasar raya besar. Justeru, Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) akan memberi peluang kepada petani memasarkan hasil tanpa melalui orang tengah,” katanya.

Saipolbahari berkata, fokus ketiga NAFAS untuk menubuhkan Bank Tanah yang menghimpunkan tanah terbiar untuk dibangunkan menerusi pembiayaan Skim Kredit Ladang Terselia (SKLT).

“Menerusi skim itu, ahli dibantu menguruskan kebun dari segi pembajaan, merumpai dan keperluan lain seperti parit, jalan ladang dan sebagainya.

“Kita sudah mengenal pasti kira-kira 83 hektar tanah terbiar dalam kawasan PPK Bukit Gambir untuk dibangunkan dengan aktiviti ekonomi yang bersesuaian,” katanya.

Menurutnya, NAFAS turut memberi fokus dalam aspek pembangunan modal insan dengan pembinaan Kolej Universiti NAFAS di Kota Damansara, Selangor.

Sementara itu, Hisamuddin berkata, seramai 4,200 ahli PPK Bukit Gambir, Ledang, Johor bakal mendapat manfaat apabila beberapa perancangan dilakukan Ahli Jemaah Pengarah dan pengurusan PPK itu dilaksanakan untuk kepentingan ahlinya.

Beliau berkata, PPK mengorak langkah ke hadapan dengan mewujudkan PPHP dan menjadi agen Agro Bank.

Katanya, PPHP PPK Bukit Gambir diwujudkan bagi membantu ahli PPK yang bergiat dalam bidang pertanian memasarkan hasil mereka tanpa melalui orang tengah untuk mendapatkan harga yang lebih baik.

“PPK Bukit Gambir menjadi pengantara untuk memasarkan hasil pertanian yang diusahakan ahli dan keuntungan yang diperoleh akan dipulangkan semula kepada ahli dalam bentuk dividen tahunan.

“Sebagai ejen Agro Bank pula, ahli boleh berurusan di kaunter yang disediakan di pejabat PPK Bukit Gambir untuk pelbagai perkhidmatan perbankan seperti membuat simpanan wang atau membayar bil utiliti selain khidmat nasihat mengenai pinjaman yang disediakan oleh bank itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 5:12 AM