SITI Nordiana ketika diumumkan sebagai juara.
Oleh Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Seperti dijangka, kemenangan berpihak kepada Siti Nordiana pada pentas akhir Gegar Vaganza 2 (GV2) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam kelmarin.

Siti Nordiana atau Nana ketika ditemui meluahkan rasa bersyukurnya selepas dinobatkan sebagai juara.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dinobatkan sebagai juara. Bagi saya, program GV2 ini menjadi satu ruang dan peluang kedua untuk saya kembali bergiat aktif di dalam industri,” katanya.

Tambah penyanyi berusia 31 tahun ini lagi, program GV2 ternyata memberikan impak yang sangat besar buat kerjaya seninya sekali gus menjadi tempat untuknya belajar memperbaiki kekurangan.

“Setiap minggu, selepas mendengar komen dan kritikan daripada juri, saya akan ambil itu sebagai pelajaran dan memperbetulkan kekurangan saya. Minggu ini, saya bertekad memberikan persembahan yang terbaik. Jika sebelum ini, jarang penonton melihat saya menari, tetapi untuk minggu ini, memandangkan minggu terakhir, saya buat juga,” kata Nana.

Pada pentas akhir itu, Nana mempersembahkan lagu solo Putus Terpaksa dendangan asal Ziana Zain manakala untuk persembahan ‘battle’, Nana bertarung dengan Acong Sweetchild menerusi lagu Awak Kat Mana.

“Lagu Putus Terpaksa itu memang ada dalam senarai lagu yang saya pilih. Sebelum ini, saya pernah menyanyikan lagu itu, tetapi ‘key’ lagu itu diturunkan untuk disesuaikan dengan suara saya.

“Tetapi untuk konsert akhir ini, saya cabar diri untuk me–nyanyi mengikut ‘key’ asal dan Datuk Ramli MS sendiri selaku penasihat vokal juga turut menyarankan supaya saya tidak menukar ‘key’. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya lagi.

Naib juara GV2, Farahdhiya pula bersyukur kerana dapat membuat persembahan walaupun mengalami masalah kesihatan.

“Walaupun berada di tempat kedua, cukup besar maknanya buat saya. Keadaan kesihatan saya yang kurang memuaskan bukanlah alasan untuk tidak memberikan persembahan terbaik.

“Sehari sebelum konsert akhir ini berlangsung, saya langsung tidak dapat mengeluarkan suara. Alhamdulillah, pada hari kejadian, saya dapat menyanyi dan membuat persembahan,” kata Farahdhiya atau nama sebenarnya Farahdhiya Mohd Amin.

Bagi pemenang tempat ketiga, Ezad Lazim, dia meluah–kan rasa gembiranya dengan impak program ini terhadap kerjaya seninya.

“Apa yang dapat saya katakan, saya gembira kerana impak yang sangat besar daripada program ini. Sebelum ini, ramai yang tidak tahu saya sudah bergerak secara solo, tetapi sekarang ramai mula nampak,” kata Ezad.

Juri tetap, Datuk Ramli MS dan Datuk Kadijah Ibrahim juga berpuas hati dengan keputusan pada malam itu.

“Selepas dicampurkan semua markah daripada persembahan solo dan ‘battle’, kami bersepakat untuk menobatkan Nana sebagai juara,” kata Ramli.

Pengurus Saluran Astro Ria Raqim Ahmad juga meluahkan rasa puas hati dengan sambutan yang diterima menerusi program ini.

“Alhamdulillah, sambutan yang diberikan sangat luar biasa dan program ini akan diteruskan untuk musim seterusnya,” katanya.

Konsert akhir GV2 yang turut bersiaran secara langsung di saluran Astro Ria dan Ria HD itu dibahagikan kepada dua segmen, persembahan solo dan juga battle.

Untuk segmen persembahan solo, Nana mempersembahkan lagu Putus Terpaksa, Farahdhiya dengan Janji Manismu, Ezad (Nur Nilam Sari), Nassier Wahab (Gelombang CInta), Acong (Seruan) dan Haiza (Puisi Cinta).

Pentas ‘battle’ pula dibuka dengan persembahan Farah–dhiya dan Nassier Wahab menerusi lagu Oh La La diikuti Ezad dan Haiza dengan Apa Khabar dan diakhiri oleh Nana dan Acong menerusi Awak Kat Mana.

Nana dinobatkan sebagai juara dengan jumlah peratusan markah daripada juri tetap sebanyak 68.7 peratus, diikuti Farahdhiya dengan 68.4 peratus manakala Ezad berjaya memungut jumlah peratusan sebanyak 63.1 peratus.

Nassier Wahab berada di tempat keempat (60.2 peratus) diikuti pemenang tempat kelima, Acong (57.45 peratus) seterusnya Haiza (55.6 peratus).

Nana berjaya membawa pulang wang tunai RM100,000 tajaan Pamoga Qu Puteh & Astro, satu lagu baru sumbangan Astro, pakej pelancongan ke Madrid, Sepanyol bernilai RM30,000 tajaan Mycentrio Holidays dan trofi sumbangan Astro.

Farahdhiya pula membawa pulang wang tunai RM50,000 sumbangan Astro, pakej percutian ke Beijing, China bernilai RM15,000 tajaan Mycentrio Holidays trofi sumbangan Astro.

Ezad di tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM30,000 sumbangan Astro, pakej percutian ke Jogjakarta, Indonesia bernilai RM10,000 tajaan Mycentrio Holidays dan trofi sumbangan Astro.

Pemenang tempat keempat, kelima dan keenam masing-masing berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM15,000, RM10,000 dan RM5,000 sumbangan Astro, pakej percutian ke Lombok, Indonesia bernilai RM6,000 tajaan Mycentrio Holidays berserta trofi.

Selain bergelar juara, Nana juga turut membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 sumbangan Astro sebagai hadiah untuk kategori persembahan pilihan penonton menerusi undian SMS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 5:01 AM