Mohd Ikhwan Amin Che Gali Kham, 15, pelajar cemerlang bersama ibu bapanya. - Foto SAIFUL ISKANDAR
Oleh: Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: "Kejayaan dalam pelajaran bukan hanya bergantung kepada guru tetapi juga inisiatif ibu bapa yang sentiasa mendoakan anaknya," kata Norrizam Awang, 40, ibu pelajar cemerlang ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Anaknya Mohd Ikhwan Amin Che Gali Kham, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bangsar di sini, memperoleh 10A dalam PT3 yang diadakan Oktober lalu.

"Saya dan suami selalu memantau pelajaran dia selain kelas tambahan serta doa yang tidak putus daripada kami untuk anak," katanya yang turut menyertai program Juara, iaitu program anjuran sekolah memerlukan ibu atau bapa hadir ke sesi mengulang kaji pelajaran anak.

Suri rumah itu bersama suami, Che Gali Kham, 46, seorang juruteknik, menemani anaknya ke sekolah pagi tadi untuk mengambil keputusan ujian itu.

Mohd Ikhwan Amin yang bercita-cita menjadi akauntan berkata, galakan guru dan ibu bapa menjadi faktor penting kejayaannya.

"Ayah dan ibu selalu memantau pembelajaran saya di rumah dan saya banyak membuat ulangkaji bersama kakak," katanya.

Sementara itu, Guru Pendidikan Islam sekolah terbabit, Nor Aiashah Abdul Samat, 40, berkata penambahbaikan yang dibuat bagi tahun kedua pelaksanaan PT3 berjaya melonjakkan prestasi sekolah apabila guru, pelajar dan ibu bapa lebih bersedia dengan sistem berkenaan.

Selepas pertama kali dilaksanakan tahun lalu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menyediakan lebih banyak pendedahan termasuk kursus kepada guru untuk membimbing pelajar.

"Kami sangat berpuashati dengan prestasi pelajar tahun ini apabila subjek seperti Pendidikan Islam mencapai peningkatan ketara iaitu 45 pelajar mendapat A berbanding hanya empat orang tahun lalu.

“Subjek Sejarah juga mencapai keputusan cemerlang dengan 73 pelajar mendapat A tahun ini berbanding hanya 14 pada 2014," katanya lagi.

Sekolah itu mencatat pencapaian yang memberangsangkan apabila 16 pelajar meraih keputusan cemerlang termasuk Mohd Ikhwan Amin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 12:46 AM