PELUMBA Skydive Dubai Pro Cycling Team dinobat sebagai juara keseluruhan Jelajah Malaysia 2015.

Kuala Lumpur: Seperti diramal, Skydive Dubai Pro Cycling Team mendominasi perlumbaan Jelajah Malaysia (JM) 2015 apabila meraih tiga gelaran utama selepas tamat peringkat terakhir di Dataran Merdeka, semalam.

Mereka muncul pasukan terbaik selepas mengharungi lima peringkat perlumbaan sejauh 441.1 kilometer untuk mengumpul 28 jam 49 minit 22 saat mengatasi Data 3 Symantec Racing Team dengan kelebihan tiga minit 23 saat yang berada di kedudukan kedua.

Malah pelumbanya, Francisco Mancebo meraih juara individu keseluruhan susulan kejayaannya menamatkan perlumbaan secara solo pada peringkat pertama Rabu lalu sekali gus memberikan kesukaran kepada pelumba lain untuk mencabar catatan masanya.

Lebih manis pakar pecut Skydive Dubai Pro Andrea Palini mengesahkan kejuaraan menyarung jersi Raja Pecut apabila menamatkan saingan di tangga kedua pada peringkat kelima semalam sekali gus menafikan cabaran pelumba KSPO Park Sung Baek yang sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam selepas hanya dibezakan satu mata tamat peringkat keempat kelmarin.

“Bagi kami, ini kejayaan yang sempurna apabila mempertahankan kejuaraan tahun lalu selain turut memenangi individu keseluruhan dan pecut kali ini. Kami turut memenangi tiga daripada lima peringkat peringkat perlumbaan,” kata Mancebo mewakili pasukannya.

Kejayaan Skydive Dubai Pro pada JM 2015 membolehkan mereka meraih hadiah wang tunai paling tinggi berjumlah RM47,650.

“Walaupun perlumbaan mengalami sedikit masalah, ia tetap berjaya ditamatkan. Saya gembira dengan pencapaian peribadi kerana ini kali ketiga saya menyarung jersi kuning sejak awal tahun. Saya turut menang dua jelajah lain berstatus 2.2,” katanya.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Nur Amirul Mazuki mengesahkan kejuaraan selaku Raja Bukit dengan 14 mata manakala pelumba Korea Kim Ok Cheol mengungguli kategori bawah 23 tahun.

Saingan JM 2015 anjuran Peloton Resources dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) membabitkan saingan 19 pasukan berstatus 2.2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2015 @ 5:05 AM