Ahad,21 Disember 2014

Yakini keupayaan bahasa Melayu

KUALA LUMPUR: “Kita mesti yakin dengan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang berupaya mentransformasikan pemikiran dan tindakan bangsa Malaysia secara menyeluruh,” kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Sehubungan itu, beliau berkata, tiada bahasa lain di negara ini mampu menyatupadukan seluruh rakyat selain daripada bahasa Melayu kerana ia mudah difahami dan sudah diajar sejak di bangku sekolah rendah lagi.


Menurutnya, sejajar dengan Gagasan 1Malaysia, penggunaan satu bahasa yang difahami semua rakyat sangat penting terutama dalam aspek menyatupadukan rakyat berbilang kaum yang mengamalkan pelbagai budaya di negara ini.

“Justeru dalam konteks negara kita, kita harus akui tiada bahasa lain yang mampu menyatupadukan kita selain daripada bahasa Melayu.


“Penggunaan dan pembudayaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian tidak mustahil mampu untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum di Malaysia seterusnya memberi penghayatan yang lebih mudah kepada gagasan itu,” katanya.


Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Penerangan), Datuk Dr Rothiah Omar di Majlis Penutupan Program `1Malaysia Sejuta Puisi’ di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di sini, semalam.

Rais berkata, tidak mustahil zaman kegemilangan bahasa Melayu seperti ketika digunakan secara meluas dalam bidang pentadbiran, diplomatik, ekonomi, kesenian, sosial dan budaya sejak beratus tahun dulu akan berulang kembali, walaupun pada zaman globalisasi ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/10/25

Artikel Lain

`