Jumaat,19 Disember 2014

Video kekejaman polis AS cetus kemarahan

Cotati (California): Satu rakaman video mengenai kekejaman polis di Amerika Syarikat mencetuskan kemarahan di kalangan pengguna Internet.

Rakaman itu memaparkan beberapa anggota polis di bandar kecil Cotati, California Utara, memecahkan pintu sebuah rumah, mengabaikan permintaan pemiliknya untuk melihat waran geledah dan menggunakan pistol pegun ke atas pasangan suami isteri yang mendiami kediaman berkenaan.


Bercakap kepada penghuni rumah itu melalui satu tingkap besar, polis terbabit mendakwa mereka bertindak berikutan aduan jiran mengenai berlaku keganasan domestik di situ. Pasangan terbabit kemudian bertegas mendakwa tiada insiden seumpama itu berlaku dan enggan membuka pintu sehingga polis menunjukkan waran geledah. Seorang daripada polis itu kemudian bertanya, mengapa mereka enggan keluar.

“Kerana kita tidak tinggal di negara polis, tuan.


“Lagi pun undang-undang tentera belum dikuatkuasakan di negara ini,” kata lelaki yang menghuni rumah berkenaan.


Polis kemudian menendang pintu itu sambil mengacukan pistol sebelum mengarahkan pasangan terbabit berbaring.

Apabila mereka enggan, ketua serbuan itu menembak si isteri dengan pistol pegun sebelum si suami dikenakan tindakan sama. Insiden itu didakwa berlaku pada 10 Mei lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17
`