Isnin,24 November 2014

U Mobile-Maxis bekerjasama

Oleh Afiq Hanif

U MOBILE Sdn Bhd (U Mobile) menjalin kerjasama dengan Maxis Berhad (Maxis) untuk berkongsi Rangkaian Akses Radio (RAN) 3G di seluruh negara.

Kerjasama itu adalah inisiatif pertama di Asia selari dengan sasaran U Mobile untuk berada di kelompok tiga syarikat telekomunikasi utama di Malaysia.


Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Jaffa Sany Ariffin berkata, syarikat itu kini mempunyai rangkaian di beberapa bandar utama di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak dan Johor.

“Melalui perkongsian RAN 3G ini, U Mobile boleh memperluaskan kawasan liputannya di Kangar, Alor Star, Kota Bharu, Kuantan, Kuala Terengganu dan Melaka,” katanya ketika mengumumkan kerjasama itu di Kuala Lumpur, semalam.


Sementara itu, Pengerusi U Mobile, Tan Sri Vincent Tan berkata, perjanjian 10 tahun itu mampu menjimatkan kira-kira RM2 bilion bagi kedua-dua pihak dalam operasi syarikat dan pada masa sama memberikan situasi menang-menang antara dua entiti.


“Ia juga selari dengan hasrat kerajaan mahu kami berkongsi prasarana, sekali gus menjimatkan ruang, kos sewa dan sebagainya,” katanya.

Perkongsian ini membolehkan U Mobile memperluaskan rangkaiannya empat hingga lima kali lebih pantas yang menghubungkan pengguna dengan rangkaian telekomunikasi. U Mobile turut mengumumkan pelan baru semurah RM18 sebulan apabila melanggan pelan prabayar Internet Mudah Alih Tanpa Had (UMI) 18 yang membolehkan pelanggan mendapatkan 250MB data 25 minit panggilan dan 25 khidmat pesanan ringkas (SMS) percuma.


Syarikat telekomunikasi terbabit turut mempunyai pelan lain seperti UMI 28 yang menawarkan 500MB data, 100 minit panggilan dan 30 SMS percuma kepada semua rangkaian dengan kadar bayaran RM28.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/02
`