Sabtu,25 Oktober 2014

Tudung saji daun sal

TUDUNG saji biasanya menjadi penutup makanan di atas meja makan.

Berlainan pula dengan tudung saji daun sal yang mempunyai pelbagai fungsi iaitu sebagai penutup makanan di meja makan dan gelas minuman.

Tudung saji daun sal mempunyai lapan saiz untuk disesuaikan dengan jumlah hidangan iaitu saji meja (saiz paling besar), kenab besar, kenab kecil, talam, mangkuk empat, saji pinggan, saji piring dan tudung gelas (paling kecil).

Bahagian anyaman tudung saji terbahagi kepada tiga iaitu rangka dalam, mata punai dan insang pari.


Rangka dalam adalah kerangka yang membentuk kon di bahagian dalam dengan menggunakan pelepah daun palas.


Mata Punai adalah anyaman yang menutupi bahagian atas rangka pelepas palas.

Insang pari pula membabitkan anyaman di bahagian tepi dan berbentuk seperti duri sebagai kemasan dan menjadi pelengkap seri tudung saji daun sal.

Corak anyaman pada tudung saji itu menggunakan reka corak seperti tapak bulat, bulan bintang, bunga tanjung, merpati sekawan dan jari ketam.

Anyaman itu biasanya menggunakan teknik aluran tapang lima sebagai teknik yang paling sesuai.

Sal adalah sejenis pokok yang daunnya menyerupai bentuk kipas.

Ia hidup di kawasan bukit dan hutan si Bukit Bauk, Dungun, Terengganu.

Hutan itu menjadi sumber bagi usahawan kraf anyaman di Paka, Kemaman untuk menghasilkan tudung saji daun sal.

Kumpulan usahawan itu ialah Koperasi Industri Kampung (KIK), Kampung Limbong, Paka yang digerakkan di bawah Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) oleh Kraftangan Malaysia.

Bagi membezakan anyaman tudung saji daun sal dengan anyaman mengkuang ialah dengan melihat dan merasai tekstur pada produk itu.

Daun sal karakternya lebih lembut, mempunyai permukaan berkilat dan lebih nipis daripada mengkuang.

Kunjungi Promosi Kraf Inspirasi Alam anjuran Kraftangan Malaysia di Kompleks Kraf Jalan Conlay Kuala Lumpur hingga 11 November ini bagi melihat pelbagai rekaan kraf tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/09
`