Khamis,18 Disember 2014

Tok Gajah dapat pengajaran berguna

Oleh Asrol Awang

PENGURUS Pahang, Datuk Che Nasir Salleh mahu kekalahan Pahang di tangan Johor pada Kejohanan Empat Penjuru Piala Tunku Mahkota Johor dijadikan pengajaran berguna jika skuad yang mendapat jolokan Tok Gajah itu mahu mencatat kejayaan bermakna dalam Liga M, musim depan.

Menurutnya, kegagalan itu membuktikan Pahang perlu lebih bersedia untuk berdepan cabaran lebih getir apabila memulakan kempen Liga Super, 8 Januari ini.


“Secara peribadi, kekalahan kepada Johor adalah disebabkan pemain masih tercari-cari rentak dan persefahaman. “Saya harap mereka dapat mengatasi masalah itu kerana saingan liga hanya berbaki tidak sampai 10 hari saja lagi.

“Namun, saya percaya jurulatih (Dollah Salleh) sudah mengenal pasti segala kelemahan dan kekurangan untuk diperbaiki terutama dalam usahanya membentuk kesebelasan terbaik,” katanya semalam.


Begitupun, Che Nasir mengakui beliau sendiri terkejut apabila Pahang berjaya membelasah kelab Singapura, Woodlands Wellington 6-0 untuk menduduki tempat ketiga pada saingan itu.


“Ini membuktikan prestasi semasa pemain masih lagi tidak seimbang. “Justeru, saya mahu pemain memanfaatkan segala ruang yang ada pada sesi latihan untuk meningkatkan kualiti permainan.

“Semuanya terpulang kepada pemain untuk meletakkan Pahang berada dalam kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super nanti,” katanya.


Pada pertemuan menentang Woodlands Wellington, penyerang import dari Maghribi, Mohamed Borji mencatat hatrik manakala Mohd Fauzi Rozlan menyumbang dua gol selain jaringan Abdul Malik Mat Arif.

“Saya percaya sentuhan Mohamed akan terus menjadi senjata pasukan sambil dibantu seorang lagi penyerang dari Macedonia, Nikolche Klechkaroski,” kata Che Nasir.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30
`