Isnin,22 Disember 2014

Tiga Ismail pertahan kerusi

Kuala Krau: Gandingan tiga Ismail yang diberikan amanah sekali lagi bagi mempertahankan kerusi Parlimen Pahang dijangka mampu mengukuhkan kedudukan kepemimpinan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Mereka adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempertahankan kerusi Parlimen Bera, Datuk Ismail Abdul Mutalib (Parlimen Maran) dan Datuk Ismail Mohammad Said (Parlimen Kuala Krau) yang dilihat mempunyai hala tuju sama iaitu memajukan kawasan luar bandar selaras dengan hasrat mencapai negara maju menjelang 2020.


Ismail Sabri yang diberi amanah memegang jawatan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan dua penggal menjadi Ahli Parlimen, sudah membuktikan kemampuannya memajukan daerah Bera.

Bera kini menjadi pusat perniagaan dan pentadbiran serta bakal menjadi bandar satelit dalam tempoh lima tahun lagi.


Ismail Sabri berkata, kejayaan dan pembangunan rancak di kawasan Bera banyak bergantung kepada penduduk yang sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan.


Katanya, bagi menghadapi PRU-13 ini jentera pilihan raya di kawasannya sudah bersiap sedia, malah memahami kehendak pengundi.

Katanya, pelbagai program sudah dilaksanakan bagi menarik perhatian pengundi supaya memberikan sokongan kepada BN.


“Kerajaan BN juga memberikan perhatian kepada penduduk Orang Asli yang menyumbang kepada kemenangan BN pada masa akan datang,” katanya.

Bagi Ismail yang menyandang kerusi Parlimen Maran sejak dua penggal lalu serta turut diberikan tanggungjawab sebagai Ahli Lembaga Pengarah FELDA berkata, kepemimpinan BN memberi tumpuan kepada semua golongan masyarakat terutama 11,000 pengundi muda di Maran dalam pilihan raya nanti.


“Matlamat BN memajukan masyarakat luar bandar selaras hasrat kerajaan memastikan mereka menikmati kehidupan selesa,” katanya.


Sementara itu, Ismail Mohammad Said yang juga dua penggal menjadi Ahli Parlimen adalah Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ( PTPTN).


Katanya, kawasan Kuala Krau semakin maju melalui pelbagai program pembangunan membabitkan tiga kelompok masyarakat iaitu peneroka FELDA, bandar dan kampung tradisional.


Beliau berkata, Kuala Krau bukan lagi ‘pekan koboi’ seperti 10 tahun lalu, sebaliknya mampu menjadi hab perhubungan penduduk antara Pahang dengan Kelantan melalui laluan kereta api yang bakal dibina kelak.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/18
`