Jumaat,28 November 2014

Teringin timang anak

Oleh Ramlah Zainal

HAMPIR setahun berkahwin, rumah tangga penyampai Wanita Hari Ini (WHI), Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan (Fizza), masih belum diserikan dengan cahaya mata.

Akui Fizza, hidupnya dan suami sunyi tanpa kehadiran anak dan untuk mendapatkan cahaya mata diidamkan, dia sanggup memperlahankan karier yang diceburinya buat sementara waktu.

“Impian saya dan suami memang untuk mendapatkan anak dalam tempoh terdekat ini. Kalau dulu saya mengamalkan diet yang ketat untuk menjaga berat badan, kini saya pastikan mengambil makanan berkhasiat untuk membolehkan saya mengandung.

“Pihak Mayfair juga memberi kelonggaran kepada saya untuk tidak berdiet seperti dulu kerana mereka faham situasi saya mahu mendapatkan cahaya mata tahun ini,” katanya.


Jika masih belum mendapat anak selepas lebih setahun, kata Fizza, dia dan suami merancang berjumpa doktor pakar untuk mendapatkan kaunseling dan rawatan kesuburan.


“Kami juga tak kisah dapat anak lelaki atau perempuan kerana yang penting bayi yang dilahirkan sihat dan cukup sifatnya. Insya-Allah, kalau ada rezeki kami ingin memiliki empat anak kelak,” katanya.

Personaliti TV3 yang berkulit hitam manis ini mengakui tidak kisah sama ada mereka dapat anak cepat atau lambat.

“Suami saya memang bersikap terbuka dalam soal anak ini. Setakat ini, saya percaya, kami berdua tidak ada masalah kesihatan untuk mendapat anak, cuma mungkin belum ada rezeki saja lagi.

“Keluarga saya pula tidak pernah mendesak kami dalam soal anak ini kerana cepat atau lambat itu ketentuan Tuhan,” katanya.

Fizza yang berkahwin dengan Afief Farhan Fauzi pada 2 April tahun lalu berkata, dia sudah bersedia untuk memegang status ibu pada bila-bila masa saja sekarang.

“Kehadiran cahaya mata juga akan menceriakan lagi kehidupan kami suami isteri. Bila berjumpa dengan kawan-kawan pun topik yang dibincangkan ialah soal anak kerana masing-masing sudah ada anak sendiri.

“Kami tidak terfikir pula untuk mengambil anak angkat kerana belum lagi terdesak. Emak juga sudah mempunyai tiga cucu dan keluarga kami juga besar dengan pada lebih 50 anak saudara dari sepupu yang sudah berkahwin,” katanya.

Mengenai perkembangan kariernya di TV3, kata Fizza yang juga bekas pengacara Nona ini, dia semakin serasi mengendalikan program WHI sejak empat tahun lalu bersama penyampai lain, Azizah Ariffin, Nor Azurra Azizul Azman, Teh Syuhaida, Hazrena Mohamed Kassim, Nur Syahirah Aiyob, Irin Putri Azmi, Ezzan Zalilah Zulfadzli dan Siti Farah Abdul Hanif.

“Buat masa ini, saya hanya fokus dengan tugas sebagai penyampai di TV3 dan tanggung­jawab sebagai duta produk pelangsingan badan, Mayfair. Selain itu, saya juga menjadi pengacara majlis bila ada kelapangan,” katanya.

Fizza yang ditemui di majlis memperbaharui kontraknya sebagai duta produk Mayfair baru-baru ini turut berkongsi pengalaman dengan dua pelanggan Mayfair, Jazillah Rashid, 23, dan Tryambikay Vengades, 28.

Kata Fizza, ini tahun kedua dia diberi kepercayaan menjadi duta produk Mayfair. Sebelum ini, dia memang takut untuk mengambil sebarang produk pelangsingan kerana bimbang dengan kesan sampingannya. Bagaimanapun, semua itu berubah apabila ditawarkan menjadi duta produk ini.

“Mereka melihat wajah dan tubuh saya yang nampak besar di laman web di TV3 sebelum ini. Selepas diberi kepercayaan menjadi duta produk ini dan mencubanya selama enam bulan, saya percaya inilah produk pelangsingan yang saya cari-cari selama ini iaitu kaedah membuang lemak tanpa pembedahan plastik,” katanya.

Berkongsi masalah utama dihadapinya, tambah Fizza adalah lemak di bahagian lengan dan peha. Ini kerana Fizza berdarah Pakistan mempunyai rangka tubuh yang besar.

Katanya, dalam keluarga, memang dia dan kakaknya mempunyai masalah itu. Selepas mengamalkan rawatan intensif dengan Mayfair seperti Slim Master dan terbaru Medi Jet, saya mendapat tubuh dan berat badan diidamkan daripada berat badan asal 60 kilogram kepada 50 kilogram sekarang,” katanya.

Selain duta produk, Fizza juga menjadi hos untuk program TV, Impian Anggun musim ketiga di TV3 bergandingan dengan seorang lagi hos yang juga pelakon filem Ratu, Nur Eina. Program ini adalah kerjasama Mayfair dan Ree’s Skin.

Lebih menarik, kali ini Fizza berpeluang berkongsi pengalaman sendiri dengan penonton mengenai rawatan yang saya sudah cuba sepanjang menjadi duta produk pelangsingan badan ini.

Impian Anggun musim ketiga bersiaran setiap Isnin, jam 5.35 petang hingga 6 petang bermula 3 Januari lalu di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/01/19
`