Rabu,29 Oktober 2014

Tekad terus menekat

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

KUALA LUMPUR: Siapa sangka industri sulaman tekat benang emas yang seakan terpinggir di negara ini lantaran tidak menarik minat golongan muda sebenarnya cukup gah di luar negara.

Seni tekat benang emas yang dihasilkan masyarakat negara ini diiktiraf sebagai seni halus berkualiti tinggi dan tidak mampu ditandingi negara lain.


Ini diakui pengusaha sulaman tekat benang emas, Azizah Mohd Yusof, 65, salah seorang generasi lama yang masih aktif menghasilkan produk berkenaan selain menurunkan ilmu seni halus itu kepada individu berminat.

Azizah mula mendapat pengetahuan asas dalam bidang seni tekat benang emas ketika berusia 12 tahun hasil bimbingan dan tunjuk ajar ibunya, Mahyah Abdul Majid, pengusaha tekat yang terkenal di daerah Kuala Kangsar, Perak.


Katanya, kini dia berbangga berikutan kemahiran yang diwarisi daripada ibunya itu bukan sekadar diiktiraf dunia sebagai seni sulaman terbaik, malah mampu memberikan pendapatan lumayan.


“Di luar negara, sulaman tekat benang emas yang dihasilkan masyarakat di negara ini memang dipandang tinggi.

“Kerana itulah, saya menguatkan keazaman untuk menjadi pengusaha seni tekat berjaya,” katanya.


Seperkara membanggakan, Azizah kini berjaya menghasilkan pelbagai jenis hasil tekat unik dan menarik membabitkan barangan perhiasan tempat tidur pengantin, sarung bantal, kipas, alas meja, beg tangan, kasut pengantin dan barangan cenderamata.

Semua peralatan dan barangan dihasilkan mempunyai seni reka bentuk tersendiri serta memiliki kesenian bermutu tinggi.


Kini semua barang yang dihasilkan itu dipamerkan di kedainya, Azizah Tekat di Jalan Tebing, Kuala Kangsar.


Menurutnya, selain menerima tempahan daripada masyarakat tempatan di seluruh Semenanjung, dia juga kerap menerima tempahan keluarga diraja Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan Johor.


“Setiap barangan dihasilkan itu dikenakan kadar upah berpatutan bergantung kepada kualiti yang dikehendaki,” katanya.


Azizah berkata, setiap satu set tempat tidur pengantin lengkap berharga antara RM3,000 dan RM15,000 mengikut mutu barangan yang dicipta.


Menurutnya, selaku individu berpengalaman, dia banyak melahirkan pengusaha seni kraftangan tekat di seluruh negara di bawah skim latihan sambil kerja anjuran Kementerian Belia dan Sukan sejak 1984.


Katanya, selain menjadi anak angkat, pelatih terbabit juga didedahkan dengan perusahaan kraftangan tekat benang emas sehingga mampu menjadi usahawan berjaya.


Menurutnya, setakat ini dia berjaya melatih lebih 60 peserta melalui program berkenaan termasuk dari Sabah dan Sarawak dan kebanyakan pelatih terbabit kini membuka perusahaan sendiri.


Bagaimanapun, katanya, daripada jumlah itu, hanya tiga hingga empat tenaga mahir sepenuhnya dapat dihasilkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/11
`