Jumaat,28 November 2014

TRW lepas geram

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob

Kota Bharu: Kelantan mengakhiri kemarau kemenangan dengan aksi garang membenam musuh tradisi, Terengganu 2-0 di stadium keramat, Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Lebih mengejutkan, penyerang import, Keita Mandjou yang dikritik penyokong The Red Warriors (TRW) berikutan aksi longlai sebelum ini mempamer aksi membanggakan apabila menjaringkan kedua-dua gol itu.


Mandjou menjaringkan gol pertama pada minit ke-33 dan 65 sekali gus membantu Kelantan memungut tiga mata penuh dan melakar kemenangan kedua selepas tujuh perlawanan. Perlawanan disaksikan kira-kira 15,000 penyokong itu bermula dengan pasukan pelawat mengasak kubu Kelantan seawal minit keenam hingga pertahanan pasukan tuan rumah kelam kabut.

Rembatan deras penyerang import, Effa Owana ditepis penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sebelum pemain sayap, G Puaneswaran melakukan susulan dengan melakukan dua percubaan namun penjaga gawang kebangsaan itu tangkas menyelamatkan keadaan.


Selang tiga minit, giliran tuan rumah mengatur gerakan melalui pertahanan, Mohd Daudsu Jamaludin yang membuat lorongan kepada kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi yang berjaya melepaskan rembatan namun tersasar ke sisi gawang.


Selepas 12 minit, Owana terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan serius dan diganti Mohd Faderin Kadir.

Menyedari perlu kemenangan, anak didik Bojan Hodak terus menggandakan asakan dan Indraputra Mahyuddin berjaya melakukan percubaan selepas menerima lorongan Mohd Badhri atau Piya, namun tersasar jauh.


Pada minit 32, Mandjou berjaya memecah kebuntuan selepas menanduk masuk bola hantaran Mohd Shakir Shaari sekali gus meletakkan juara tiga piala itu di depan hingga tamat babak pertama.

Bermula babak kedua, tuan rumah beraksi lebih baik untuk mempertahankan kedudukan meskipun diasak hebat pasukan kendalian E Elavarasan.


Mandjou hampir menjaringkan gol namun percubaannya pada m-54 ditepis penjaga gol, Mohd Sarmiza Yusof.


Bagaimanapun, pada minit ke-64, Mandjou tidak mensia-siakan hantaran Indraputra apabila menghadiahkan jaringan kedua kepada Kelantan sekali gus namanya bergema di dalam stadium.


Mandjou hampir mencipta hatrik namun jaringannya pada minit ke-70 dinafikan pengadil perlawanan, Syed Azhar Syed Kamar kerana berada pada kedudukan ofsaid ketika menerima hantaran Badhri.


Sang Penyu terus tertekan apabila pada minit ke-80, kapten pasukan, Faizal Mohamad dilayang kad merah kerana mengasari pemain pertahanan Kelantan, Mohd Zamri Ramli.


Kelantan bagaimanapun gagal menggunakan kelebihan itu dan kedudukan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/20
`