Isnin,20 Oktober 2014

TOP CC azam tempa nama

Oleh Malik Muhamad

Marang: Kejayaan atlet berbasikal negara berasal dari Kuala Berang, Fatehah Mustapa di pentas antarabangsa menyuntik semangat Kelab Tea O Ping Cycling Club (TOP CC) juga dari daerah sama, memburu kedudukan terbaik pada Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix di Bukit Mawi, Marang, 5 Oktober ini.

Pengurus pasukan Muhd Kausani Ramli berkata, walaupun kelab itu baru ditubuhkan Mac lalu, pasukannya tetap mengidam menaiki podium pada kejohanan yang julung kali diadakan di Terengganu itu.


“Kehebatan kayuhan atlet kelahiran Kuala Berang itu mendorong pelumba kami membuktikan kehebatan dalam Sirkit 3 ini.

“Selain itu, kejayaan pelumba TOP CC muncul naib juara kejohanan mountain bike di Johor, baru-baru ini menjadi pemangkin semangat untuk kami beraksi lebih cemerlang di gelanggang sendiri,” katanya.


Menurut tenaga pengajar Akademi Binaan Malaysia itu, bagi memastikan pelumba TOP CC menyinar, persiapan rapi dilakukan dengan latihan kayuhan di kawasan berbukit setiap hujung minggu.


Katanya, selain kawasan berbukit dan halangan teknikal, latihan juga tertumpu di beberapa tempat sekitar Kuala Berang dan Marang. “Persiapan kami turut mendapat tunjuk ajar tenaga pakar bagi memastikan penampilan pertama dalam MTB Harian Metro ini membuahkan hasil.

“Kami tidak mahu penyertaan hanya sebagai pemanas badan saja sebaliknya mahu menempa nama dalam kejohanan terbesar di Terengganu ini,” katanya yang bakal menerapkan ketahanan mental dan fizikal kepada barisan pelumbanya.


Ditanya mengenai nama kelab yang agak unik, pengurus berusia 30 tahun itu berkata, selepas selesai berkayuh, pelumba kelabnya akan memesan minuman teh ‘O’ ais di warung tempat mereka selalu berkumpul.

“Bermula daripada minuman itu, kami berpakat menamakan kelab kami Kelab Tea O Ping kerana selain mudah disebut, nama itu juga sinonim dengan citarasa ahli kelab,” katanya yang mempunyai 32 ahli berusia antara 18 hingga 60 tahun. Muhd Kausani berkata, pada Sirkit 3 ini, TOP CC sudah menyenaraikan 15 pelumba yang bakal menjadi taruhan kelab dalam dua kategori termasuk kategori veteran.


“Dengan hadiah hebat ditawarkan penganjur, kami berazam memberi saingan terbaik untuk menaiki podium sekali gus memperkenalkan kelab TOP CC ke seluruh negara.”

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/18