Isnin,20 Oktober 2014

Surendran sedia rebut kembali tempat

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pemain tengah Pahang R Surendran yang diperintah keluar padang ketika aksi Pahang-Kelantan pada 20 Ogos lalu, sudah sedia merebut kembali tempatnya dalam kesebelasan utama.

Pemain berusia 26 tahun itu sudah melupakan pengalaman pahit itu dan kini bercita-cita besar untuk memastikan skuad Tok Gajah layak ke suku akhir Piala Malaysia.


Menurutnya, kejadian tidak diduga itu banyak memberi pengajaran terutama agar lebih matang dan tidak membuat sebarang tindakan melulu kerana ia bukan saja menjejaskan reputasinya malah memberi impak kepada pasukan.

“Saya kini sedar disiplin di padang penting jika mahu membantu pasukan dan pada masa sama persefahaman di antara rakan juga menjadi kekuatan utama.


“Sebab itu penggantungan dua perlawanan ketika Pahang menentang Terengganu dan Negeri Sembilan memberi pengajaran terbaik untuk menjadikan saya lebih matang,” katanya.


Pada aksi Pahang-Kelantan berkesudahan 1-1 itu, Surendran yang gagal mengawal emosinya menendang pemain Kelantan Mohd Dausu Jamaluddin, dilayangkan kad merah pada minit ke-80.

Ketika itu Kelantan beraksi dengan 10 pemain dan Surendran seharusnya berterima kasih kepada pemain import, Damion Stewart yang menyamakan kedudukan bagi memastikan Pahang mengutip satu mata untuk perlawanan itu pada minit ke-85.


Ditanya baki dua perlawanan menentang Negeri Sembilan dan Kelantan, Surendran berjanji akan berusaha kembali mendapatkan kepercayaan jurulatih Dollah Salleh untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/11
`