Sabtu,20 Disember 2014

Suami maut, isteri parah kenderaan dirempuh lori

JEMPOL: Seorang lelaki maut manakala isterinya parah selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mereka dirempuh sebuah lori di Kilometer 18, Jalan Bahau-Kemayan berhampiran persimpangan Air Hitam, dekat sini, petang kelmarin.

Difahamkan dalam kejadian jam 3.40 petang itu, kereta dinaiki pasangan warga emas itu dikatakan berpusing beberapa kali akibat dilanggar lori terbabit.


Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai G Narason, 63, manakala isterinya, R Lechimy, 52, masih dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Sabri Muhamad berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati kedua-dua mangsa dari arah Bahau menuju ke Kemayan sebelum terbabit kemalangan.


“Ketika tiba di tempat kejadian, sebuah lori satu tan dari arah bertentangan dipercayai ingin memasuki persimpangan sebelah kanan dipercayai ingin menuju ke Serting Ulu. “Pemandu lori berusia 51 tahun itu dipercayai tidak perasan kehadiran kereta mangsa dan merempuhnya hingga kereta itu berpusing ke tepi jalan dan remuk teruk di bahagian kanan,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Mohd Sabri berkata, pemandu kereta yang parah di bahagian sebelah kanan badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya dikejarkan ke (HTJS) untuk rawatan lanjut.

“Pemandu lori berkenaan bersama dua lagi penumpang lain hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Jempol sebagai pesakit luar.


“Kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/19
`