Isnin,22 Disember 2014

Strawberi dan Karipap baru

Oleh Norhayati Nordin

Kesinambungan daripada kejayaan telefilem Strawberi dan Karipap yang diminati ramai, ia kini dikembangkan kepada drama 13 episod yang lebih menjurus pada elemen kekeluargaan.

Pengarah, P Prem Anand Pillai diberi tanggungjawab untuk mencorakkan drama terbitan Temenggong Pictures Sdn Bhd yang ditunjangi dua pelakon cilik popular iaitu Mia Sara Nasuha dan Rykarl Iskandar.

Drama ini turut dimantapkan dengan kehadiran Zizan Nin sebagai Hairi dan Nellydia Senrose sebagai Lisa iaitu bapa dan ibu saudara kepada kanak-kanak itu yang terpaksa menjaga mereka bergilir-gilir.

Drama Strawberi dan Karipap akan menemui penonton bermula Ahad ini, jam 11 pagi di Astro Ceria (saluran 611).

Foto

GANDINGAN mantap Nelly dan Zizan buat kali pertama dalam drama.

Foto

ANTARA babak menarik dan mencuit hati di dalam drama Strawberi & Karipap yang akan menemui penonton mulai Ahad ini di Astro Ceria.


Prem berkata, garapan kisah Strawberi & Karipap dalam bentuk drama lebih menjurus kepada keadaan Nini lakonan Mia dan Rykarl (Haikal) yang perlu berdikari di bawah jagaan bapa dan ibu saudara mereka.


“Nini dan Haikal dijaga oleh Lisa selepas ibu bapa mereka, Haiman dan Diana melanjutkan pengajian ke luar negara. Jadi, Lisa yang bekerja sebagai jurugambar mengambil alih tugas menjaga anak saudaranya itu.

“Namun, kesibukan kerja Lisa yang tak menentu membuatkan Nini dan Haikal sering terabai. Justeru, prihatin dengan nasib anak saudaranya itu maka Lisa meminta pertolongan Hairi, adik lelaki Haiman untuk membantunya.

“Hairi yang juga seorang penulis novel pada mulanya enggan menerima cadangan Lisa. Pun begitu, selepas dipujuk Nini dan Haikal yang membuat jadual giliran penjagaan akhirnya bersetuju untuk menjaga mereka,” katanya.

Menurut Prem, apa yang pasti garapan Strawberi & Karipap kali ini diyakini akan menambat hati penonton terutama seisi keluarga kerana banyak mesej positif dan elemen komedi dimuatkan.

Apatah lagi, katanya dia cukup berpuas hati kerana semua pelakon yang terbabit menjayakan drama ini juga sudah memberikan komitmen terbaik.

“Saya sangat seronok sepanjang mengarahkan drama ini walau pun perlu melayani kerenah Mia dan Rykarl yang terlalu aktif. Malah, cara kerja juga tak boleh begitu serius kerana mereka masih kanak-­kanak yang suka bermain.

“Bagaimanapun, senang untuk mengarahkan kedua-dua mereka kerana bukan saja memiliki bakat besar tetapi serasi apabila bergandingan bersama.

“Memang ada kalanya agak huru-hara juga lokasi, namun keserasian Mia dan Rykarl dalam melakonkan watak masing-masing cukup melancarkan kerja.

“Cuma, kami selaku pihak produksi harus mengikut jadual mereka yang terikat dengan persekolahan dan kemudiannya berada di set penggambaran untuk menyiapkan drama ini,” katanya.

Prem yang mengakui dia amat selesa dan suka bekerja dengan kanak-kanak berkata pelakon-pelakon cilik ini, mereka sebenarnya sangat ikhlas bekerja.

Jadi, katanya dengan sifat ikhlas dan tulus itulah semua kerja menjadi mudah dan tidak membebankan. Cuma, yang pasti dia perlu sentiasa peka dengan mood serta kehendak mereka.

Sehubungan itu, barisan pelakon lain yang turut membintangi drama ini ialah Yana Samsudin, Hefny Saad, Jihan (Raja Lawak), Wan Sharmila dan penyanyi ­Indonesia, Shae.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/29
`