Ahad,21 Disember 2014

Status bintang bukan kelebihan

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: “Tiada jaminan untuk mana-mana pemain terpilih mewakili skuad negara meskipun mereka pemain berstatus bintang.”

Demikian tegas penolong jurulatih skuad hoki negara, Arul Selvaraj yang memberi amaran kepada setiap pemain negara supaya mengekalkan prestasi masing-masing pada saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) atau berdepan kemungkinan disingkirkan.


Menurut Selvaraj, dengan keputusan Majlis Sukan Negara (MSN) serta Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang mengehadkan pemilihan pemain skuad negara, ia menambahkan lagi cabaran kepada setiap pemain untuk membuktikan kepadanya serta ketua jurulatih, Paul Revington yang mereka sememangnya layak terpilih beraksi bersama skuad kebangsaan.

“Jika dulu MSN dan MHC memberi kelonggaran dengan membenarkan kami membentuk satu pasukan besar seramai 30 pemain kerana ketika itu, kami berdua baru saja membimbing skuad negara dan perlu memahami karakter setiap pemain.


“Tetapi kini, kami diminta untuk mengecilkan skuad iaitu antara 22 hingga 24 pemain saja bagi menghadapi baki tugasan antarabangsa selepas berakhir saingan liga.


“Jadi kami di pihak pengurusan perlu memastikan dapat memilih pemain yang benar-benar menepati kualiti yang dimahukan pada pentas antarabangsa.

“Sebab itu saya serta Revington berharap setiap pemain dapat mengekalkan prestasi masing-masing. Kami sudah memberi amaran ini selepas berakhir Piala Sultan Azlan Shah lalu,” katanya.


Jelas Selvaraj, prestasi cemerlang sebelum ini bukanlah menjadi kayu pengukur untuk beliau serta Revington memanggil semula pemain terbabit.

“Contohnya tiada jaminan kepada skuad yang beraksi cemerlang pada Piala Sultan Azlan Shah lalu untuk dipanggil semula. Begitu juga pemain berstatus bintang kerana pemilihan berdasarkan prestasi semasa pada saingan liga,” katanya.


Sejak bergandingan bersama Revington membimbing skuad negara, Ogos tahun lalu, kedua-dua jurulatih berkenaan berjaya membentuk skuad mantap dengan kejayaan terbaru membantu Malaysia muncul naib juara Piala Sultan Azlan Shah selepas tewas tipis kepada Australia.


Tugasan skuad negara selepas ini membabitkan saingan separuh akhir Liga Dunia di Johor Bahru pada 29 Jun sehingga 7 Julai yang menawarkan tiket ke Piala Dunia 2014 di Belanda.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02

Artikel Lain

`