Jumaat,24 Oktober 2014

Stadium Perak diguna akhir bulan

Oleh Azizan Hashim

Ipoh: Stadium Perak yang ditutup untuk kerja-kerja menukar lampu limpah sejak 1 Februari lalu bagi meningkatkan pencahayaan akan dapat digunakan semula pada 27 April ini.

Ini berikutan kerja-kerja dilakukan serta bahan binaan terutama tiang lampu limpah tiba mengikut jadual ditetapkan.


“Sukacita saya maklumkan kerja-kerja menukar lampu limpah berjalan lancar dan mengikut jadual.

“Jika tiada aral, stadium akan dapat digunakan untuk perlawanan Perak dengan Johor Darul Takzim (DT),” kata Datuk Bandar Bandaraya Ipoh Datuk Roshidi Hashim ketika meninjau kerja di stadium itu.


Beliau berkata, jurutera dari Itali akan berada di Ipoh pada 21 April ini bagi urusan lampu bernilai RM4.2 juta yang akan mengeluarkan cahaya 1,400 lux.


“Saya yakin tiada masalah menggunakan stadium pada tarikh itu kerana kita akan tahu tahap cahaya seawal 21 April.” Sementara itu, Perak mengambil khidmat pemain dari Brazil Paulo Rangel dalam usaha memperkuatkan jentera serangan menghadapi baki kempen Liga Super 2013 bermula Jumaat ini.

Rangel, 28 menggantikan pemain dari Perancis, Karim Rouani apabila Seladang mengambil kesempatan daripada pembukaan tingkap perpindahan mulai hari ini untuk mengatasi kelemahan jenteranya itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/10