Jumaat,24 Oktober 2014

Soseh Soseh: As tunggu masa bersalin

Baru-baru ini rakan SS berkunjung ke sebuah gedung beli-belah terkenal di Kuala Lumpur. Ketika hendak singgah makan di medan selera di gedung terbabit tiba-tiba dia ternampak kelibat seorang wanita yang sarat mengandung duduk di satu meja.

Apabila menghampiri wanita itu, rupa-rupanya dia adalah Asfarina Muhammad atau As, bekas anggota kumpulan Feminin. Katanya, pada petang itu, As bukannya keseorangan sebaliknya ditemani suaminya, bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan.

Lalu sempatlah rakan SS bertanyakan khabar mengenai As, 38, yang sedang hamil lapan bulan dan dijangka bersalin pada Syawal atau Ogos nanti.

SS dimaklumkan, As tiba-tiba rasa mengidam hendak makan juadah goreng-goreng lalu mengajak Adnan ke situ. Biasanya dia lebih suka duduk di rumah saja di Hulu Langat dan sibuk melayan anak-anak mereka yang lain iaitu Arif Arafat, 8; Arina Ardini, 6, dan Ariq Ariri, 4.


Kata As dia sudah lama tidak aktif menyanyi dan kali terakhir dia muncul di kaca TV ialah pada 2007, ketika menyertai program Sehati Berdansa dengan Azman.


SS turut dimaklumkan walaupun sibuk menguruskan rumah tangga, As masih lagi berhubungan dengan ang­gota feminin yang lain terutama adiknya, Watie, Yatie dan Along.

Menarik juga SS dapat tahu penyanyi Dafi pernah menyuarakan pandangannya untuk berduet dengan Feminin satu hari nanti jika keadaan mengizinkan. Hakikat ini kerana Dafi memang meminati Feminin sejak dulu lagi.

Dalam pada itu, SS difahamkan, Adnan, 42, pula akan sibuk pada minggu pertama hari raya nanti apabila terbabit dalam persiapan Skuad Barcelona menentang Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 10 Ogos ini.

SS: Selalu dengar lagu popular Feminin di corong radio muzik retro.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25
`