Sabtu,01 November 2014

Sharp sasar jual sejuta produk Plasmacluster

SHARP-ROXY Sales & Services Company (M) Sdn Bhd (Sharp) melancarkan kempen 1 Rumah 1 Plasmacluster yang mempromosikan budaya hidup sihat menggunakan produk berasaskan Plasmacluster.

Kempen terbabit bertujuan meyakinkan penduduk di negara ini mengenai manfaat produk Plasmacluster yang menghasilkan ion tertentu untuk memberikan kesihatan kepada tubuh badan manusia.


Pengarah Urusannya, Hiroyuki Nuizato berkata, Sharp menyasarkan satu juta isi rumah menggunakan produk berasaskan Plasmacluster dalam tempoh tiga tahun hasil daripada kempen agresif ini.

“Kami menganggarkan terdapat 6.8 juta isi rumah di Malaysia setakat ini dan kami bersedia menawarkan produk Plasmacluster seperti peti sejuk, penghawa dingin dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan kempen itu di Kuala Lumpur, semalam.


Ia turut dihadiri Penolong Pengurus Besar dan Penasihat Pemasaran CEPnya, T Wakasumi, Penolong Pengurus Besar Jualan CEP, SM Tok dan Pengurus Kanan Pemasaran CEP, Abdul Hamid.


“Produk Plasmacluster sudah diperkenalkan sejak 10 tahun lalu dan kami mengambil langkah proaktif yang memastikan penduduk di negara ini mengetahui kebaikan menggunakannya,” kata Nuizato.

Katanya, Sharp sudah melakukan penyelidikan berkaitan tabiat pengguna di Malaysia dan mendapati golongan yang mempunyai anak kecil antara pengguna paling sesuai untuk Plasmacluster.


“Pengguna yang mempunyai anak kecil mempunyai kesedaran tinggi berkaitan kesihatan kerana mahu memastikan gaya hidup keluarga yang sihat,” katanya.

Beliau memaklumkan, Plasmacluster memainkan peranan pada masa akan datang sebagai teknologi yang membantu meningkatkan persekitaran bersih dan sihat.


Artikel ini disiarkan pada : 2011/02/19
`