Ahad,26 Oktober 2014

Shahrizan impi julang Piala Malaysia

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Impian melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia terpahat di hati pemain pertahanan Pahang, Shahrizan Salleh selepas dua percubaan sebelum ini menemui kegagalan.

Prestasi pasukan yang kini berada di kemuncak diharap menjadi taruhan terbaik Tok Gajah untuk melakar kejayaan pada saingan separuh akhir bertemu Sarawak sebelum misi seterusnya dilakar.


“Saya terlalu ingin menjulang Piala Malaysia musim ini selepas usaha merangkul juara liga dan Piala FA berakhir dengan kegagalan, jadi peluang terakhir ini perlu digunakan sepenuhnya.

“Berbekal prestasi pemain yang semakin memuncak, saya yakin misi merampas Piala Malaysia yang sudah lama terlepas akan menjadi kenyataan,” katanya yang sudah 13 tahun bersama skuad Tok Gajah dan Kelab Shahzan Muda.


Shahrizan berkata, tidak dinafikan saingan peringkat separuh akhir bertemu Sarawak begitu mencabar kerana ini kali pertama Pahang berhadapan Bujang Senang yang tidak kurang hebatnya selepas membenam Sime Darby.


Justeru, katanya, tiada istilah laluan mudah buat Tok Gajah yang kini sudah siap sedia menggempur kubu lawan di gelanggang sendiri pada 19 Oktober sebelum bertandang ke tempat lawan.

“Kita tidak dapat menilai kekuatan sebenar Sarawak, panduan menjinakkan lawan hanyalah menerusi rekod pencapaian dan kemampuan mereka melangkah ke separuh akhir.


“Peluang kami 50-50, sekiranya lawan banyak melakukan kesilapan mereka akan kecundang begitu juga Pahang.” Shahrizan berjanji akan memberi sepenuh tumpuan membantu Tok Gajah melakar kejayaan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) sebelum bersara dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Beliau yang menjangkau usia 31 tahun berkata, walaupun sebelum ini menerima tawaran beraksi dengan pasukan baru namun ditolak disebabkan faktor usia dan keluarga.


Menurutnya, sokongan terbaik diberikan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) sepanjang 13 tahun menyebabkan dia tidak bercadang untuk berhijrah walaupun mendapat tawaran lumayan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/09

Artikel Lain

`