Jumaat,24 Oktober 2014

Serlah landskap laman

Oleh Samadi Ahmad

Keindahan seni taman bagaikan kurang serinya jika tidak digandingkan dengan wakaf dan pergola menggunakan dekorasi bercirikan kehijauan dikelilingi tumbuhan dan kolam buatan atau unsur air.

Rekaannya dengan pelbagai bentuk dan material bukan sahaja berfungsi mengindahkan landskap laman, malah menjadi trend bagi menikmati suasana damai lagi menyegarkan di luar rumah sambil menikmati minum petang.

Walaupun wakaf dan pergola agak mahal kerana diperbuat daripada kayu, permintaan terhadap produk itu semakin menggalakkan.

Menurut syarikat perunding landskap, LDY Decor Sdn Bhd, harga sesebuah wakaf bergantung kepada saiz, rekaan dan penggunaan material, terutama mengenai pemilihan kayu.

Foto

KONSEP hijau di sekeliling wakaf mempunyai keunikan dan kesegaran mata memandang.

Foto

PENAMBAHAN pancuran air yang diletakkan bersebelahan wakaf menjadikan suasana lebih ceria dan menawan.

Foto

LDY Decor Sdn Bhd memberi panduan dalam pemilihan wakaf bagi memastikan kewujudannya dimanfaatkan sepenuhnya bagi sesebuah laman.


Pengurusnya, dikenali sebagai Cho berkata, kayu yang berkualiti seperti cengal, resak, meranti, merbau dan jati sering digunakan kerana ia tahan lebih lama dalam cuaca panas dan hujan, tetapi harganya agak mahal.


Katanya, walaupun seni bina itu dilihat memerlukan perbelanjaan besar, masih ada yang sanggup berbelanja ribuan ringgit kerana mahu kediaman mereka nampak lebih elegan dan cantik.

“Mungkin ada yang beranggapan konsep sebegini hanya untuk kediaman jenis banglo yang mempunyai laman luas, namun kediaman berkembar dengan laman sederhana juga sesuai sekiranya bijak menyusun atur dan memanfaatkan ruang supaya kelihatan menarik.

“Ada pelbagai jenis rekaan dan saiz, bergantung kepada keluasan sesebuah laman, tetapi antara rekaan digemari ramai adalah wakaf bertiang empat berkonsep Bali, dua tingkat dan wakaf bertiang satu yang ditambah ukiran kayu pada bahagian atap,” katanya.

LDY Decor yang terletak di Taman Prima Saujana, Kajang, Selangor menghasilkan pelbagai jenis produk dan ukiran eksklusif daripada khazanah alam semula jadi.

Malah, ia turut memperkenalkan kepada pelanggannya konsep hijau dengan menanam pokok kelapa kuning, pinang dan buluh yang mempunyai keunikan tersendiri bagi menghasilkan kehijauan dan kesegaran taman.

Cho berkata, pihaknya menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan, walaupun harga sesebuah ukiran itu agak mahal kerana yang penting bagi mereka adalah keunikan produk dan kepuasan.

“Bagi sebuah gazebo misalnya, harganya RM5,000 hingga RM20,000 bergantung kepada saiz dan kehendak pelanggan.

“Ada yang gemar kayu sepenuhnya termasuk pada bahagian lantai dan atap, malah ada mahu bertiang kayu dan beratap nipah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa selama lima hingga 10 hari untuk menghasilkan produk berkenaan mengikut cita rasa mereka.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan keterangan lanjut mengenai seni reka daripada LDY Decor boleh melayari laman web www.ldyclassic.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05
`